Saturday, July 16, 2011

KWSP perluas senarai pengeluaran kesihatan

Jul 14, 11 5:59pm

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah senarai penyakit kritikal di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 39 kepada 55 penyakit, berkuat kuasa esok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol berkata KWSP mengambil inisiatif memperluaskan senarai penyakit kritikal bagi membantu mengurangkan beban kewangan anggota dalam mendapatkan rawatan yang diperlukan dengan segera.

"Faedah pengeluaran kesihatan yang dikaji semula ini meliputi tambahan 16 jenis penyakit termasuk penyakit pulmonari obstruktif kronik teruk (COPD), fibrosis paru-paru, penyakit radang usus kronik, sklerosis sistemik dengan hipertensi pulmonari, AIDS dan tiga jenis penyakit mental yang jika tidak dirawat, akan memudaratkan pesakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir KWSP memperluas senarai itu ialah pada 15 Jun 2010 iaitu daripada 13 kepada 39 penyakit.

Azlan berkata pengeluaran bagi pembelian bantuan kesihatan kini dibenarkan bagi pesakit kanser, kardiovaskular, sistem respiratori, sistem saraf, sistem muskuloskeletal dan telinga.

Beliau berkata bagaimanapun, rawatan kesuburan dan alternatif tidak layak melakukan di bawah skim pengeluaran kesihatan.

"Ia juga tidak layak jika kos rawatan perubatan dibiayai sepenuhnya oleh majikan anggota atau majikan keluarga anggota," katanya.

Untuk keterangan lanjut, Azlan berkata anggota boleh melayari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000.

Mereka juga boleh mengunjungi cawangan KWSP berdekatan bagi mendapatkan senarai penyakit terkini yang diluluskan, dan senarai peralatan bantuan kesihatan, serta maklumat lanjut mengenai cara permohonan pengeluaran KWSP bagi membiayai rawatan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169929

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...