Saturday, July 16, 2011

Biar BERSIH bertindak, kata MP

Salhan K Ahmad
Jul 14, 11
3:33pm

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyerahkan kepada jawatankuasa pemandu BERSIH untuk mengambil tindakan berhubung kecederaan yang dialami para pemimpin Pakatan Rakyat akibat tindakan polis dalam perhimpunan pada Sabtu lalu.

"Biarlah BERSIH bertindak atas beberapa isu termasuk (tindakan polis) membahayakan keselamatan orang yang datang ke perhimpunan aman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, beliau juga masih mempertimbangkan sama ada akan membuat laporan polis ekoran kecederaan yang turut dialaminya dalam insiden yang berlaku di KL Sentral itu.

"Nak lapor polis pasal (tindakan) polis? Saya tunggu keputusan pihak peguam dululah. Kalau suruh buat laporan, saya buat laporan," katanya lagi.

Jelasnya, beliau mengalami kecederaan di bahagian hadapan, belakang dan juga di bahagian telinganya akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

"Di belakang telinga saya memerlukan enam jahitan. (Doktor) juga sudah x-ray, dia kata tak ada kecederaan dalaman tapi saya juga diberikan suntikan tetanus," katanya yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Turut bersama beliau pada masa kejadian ialah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan juga pengerusi pemandu BERSIH, Datuk Ambiga Sreevenasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata satu perhimpunan akan diadakan bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan ke atas Pakatan Rakyat dan juga memberi penjelasan berhubung perhimpunan BERSIH 2.0.

"Kita akan jelaskan antaranya tohmahan bahawa kita menghasut rakyat untuk timbulkan huru-hara, (dakwaan) yang mereka guna untuk bantai kita," katanya lagi.

Tambahnya, perhimpunan itu akan diadakan sama ada di Stadium Shah Alam atau di Stadium Melawati, dalam tempoh dua minggu ini sebelum Ramadan.

"Kita harap akan dapat kumpulkan sehingga 100,000 orang untuk Stadium Shah Alam. Kalau di Stadium Melawati boleh muat 30,000 orang," katanya lagi.


http://malaysiakini.com/news/169910

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...