Beberapa syarikat jualan kereta mengadu bahawa tempahan harian mereka, yang kebanyakannya bagi kereta, telah merosot pada purata 20-30 peratus sejak pindaan akta itu berkuat kuasa pada 15 Jun.
Peserta automotif tempatan, sambil menghargai pindaan akta itu yang mementingkan hak dan kepentingan pengguna, telah mulai merasai keperitan jualan yang tidak berubah, yang mereka jangka akan berterusan bagi tempoh beberapa bulan akan datang berikutan keperluan di bawah akta itu.
Sekurang-kurangnya tiga pengedar kereta -- Proton, UMW Toyota dan Edaran Tan Chong, yang menguasai agihan pasaran disatukan lebih 50 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV), berkata mereka kemungkinan perlu menyemak semula sasaran jualan awal syarikat-syarikat berkenaan.
Pindaan akta itu telah menyebabkan mereka mengalami masalah aliran tunai kerana fi tempahan maksimum yang dikenakan hanya 1.0 peratus daripada harga jualan keseluruhan kereta yang dikenakan pada pembeli, yang terlalu kecil berbanding dengan keperluan 10 peratus sebelum ini.
Bagi memburukkan lagi keadaan, jika urus niaga itu dilaksanakan, pembeli akan menerima semula 90 peratus daripada fi tempahan, yang menyebabkan mereka mendapat sebahagian kecil wang itu.
Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd Datuk Ang Bon Beng berkata para pelanggan juga boleh menukar fikiran walau pun pada saat akhir, selain fi tempahan yang rendah itu.
Dengan lain perkataan, mereka tiada komitmen pada urus niaga itu, katanya, sambil menyatakan bebanan hubungan tidak komited itu perlu ditanggung oleh peniaga kereta atau prinsipal syarikat automotif.
Selain itu, para pelanggan juga hanya perlu menandatangani perjanjian belian apabila kereta sudah sedia ada dan ditunjukkan kepada pelanggan dan jika pelanggan memilih tidak membeli kereta itu, para peniaga akan turut mengalami kerugian.
Jika kereta itu tidak terjual, ia akan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan kerana tempahan telah dibuat mendapatkan kereta itu.
Hasilnya, peniaga kereta kini mencatatkan kemerosotan tempahan 20-30 peratus sehari berikutan keperluan proses yang lama mendapatkan sesebuah kereta di bawah pindaan akta itu kerana pembeli kini perlu berurus niaga dengan bank yang bermakna peningkatan kerja dokumentasi dan pemprosesan.
Sebelum ini, seseorang peniaga akan dapat mengendalikan keseluruhan proses dokumentasi dan pembelian sesebuah kenderaan.
"Kami (Tan Chong) pernah mencatatkan kira-kira 200 tempahan sehari tetapi kini ia turun kepada kira-kira 100 tempahan sahaja," kata Ang.
Tambahan pula, berikutan fi tempahan yang rendah, para peniaga kereta tidak dapat membezakan antara pembeli tulin atau yang tidak serius kerana ramai yang memilih untuk menukar kepada kereta lain pada saat akhir.
Para peniaga juga mengadu seseorang pembeli boleh membuat tempahan tidak serius di beberapa perniagaan kereta tanpa membayar fi tempahan, yang menyebabkan pembaziran sumber permohonan pinjaman dan ketidakefisienan bagi bank dan peniaga kereta.
Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ismet Suki yang akur dengan hasrat kerajaan bagi memastikan pengguna tidak tertipu dan diterima oleh kesemua peserta industri, merasai terdapat kelemahan pada pindaan akta itu.
"Akta itu terdapat kecacatan pada perspektif automotif kerana banyak segmen, iaitu pengilangan, pengeluaran dan sistem tempahan (kenderaan), mengalami gangguan," katanya.
Ismet berkata proses dokumentasi dan kertas kerja yang lama antara bank, peniaga kereta dan pelanggan sebenarnya melambatkan sistem serahan kerana proses memuktamadkan perjanjian pembelian kereta memakan masa tambahan 3-4 hari.
Pengilang dan pemasar kereta Toyota serta pengedar kenderaan berjenama Lexus juga menyatakan bahawa isu utama sekarang bukan jualan kereta tetapi mengambil risiko mengeluarkan kereta mengikut tempahan bank, tanpa mengetahu sama ada tempahan itu tulin atau akan dipenuhi.
Pengurus Besar Pemasaran Proton Edar Sdn Bhd Sidik Abdul Hamid berkata di segi kereta nasional, reaksi terhadap pindaan akta itu dari para pelanggan adalah positif.
Bagaimana pun, katanya syarikat itu sedang mengkaji untuk menyemak semula sasaran jualan awal 173,000 kereta ke bawah kerana pemain automotif utama itu telah mencatatkan penurunan 30 peratus tempahan kereta sejak 15 Jun.
Berikutan masalah yang dihadapi penjual kereta itu, kerajaan pada bulan lepas berjanji menyelesaikan masalah berikutan pelaksanaan pindaan akta itu.
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/169878
No comments:
Post a Comment