Sunday, August 28, 2011

Buang biometrik, guna dakwat kekal

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sistem biometrik banyak kelemahan berbanding dakwat kekal membuktikan pandangan Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum ini adalah tepat.

Exconya, Suhaizan Kaiat berkata, PAS sudah lama membangkitkan perkara itu dan kini ianya diakui sendiri oleh SPR.

"Kita sebut benda ini awal-awal dulu lagi bahawa waktu sekarang memang tidak sesuai untuk laksanakan biometrik.

"Akhirnya SPR sudah memahami selepas mereka membuat simulasi," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Tambahnya lagi, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

Ianya termasuklah tidak mampu mengesan undi dua kali bagi mereka yang mempunyai dua kad pengenalan dan menyulitkan proses semasa pembuangan undi.

Selain itu, SPR juga turut mengakui bahawa sistem biometrik sangat mahal dan memerlukan masa yang lebih lama untuk dipersiapkan berbanding dakwat kekal yang lebih murah dan cepat.

Mengulas perkara itu lebih lanjut, Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Mobilisasi & Demokrasi Dewan Pemuda PAS berkata kenyataan pengerusi SPR itu memberi gambaran jelas bahawa dakwat kekal adalah terbaik buat masa ini.

"Sebelum ini SPR akui ada pengundi klon, sekarang akui biometrik tak boleh halang undi dua kali jika ada dua kad pengenalan.

"Jadi saya harap kembali kepada gesaan kita selama ini untuk guna dakwat kekal yang terbukti boleh selesai masalah tersebut," ujarnya lagi.


Sehubungan itu juga gesanya, SPR perlu menggunakan masa yang ada sebelum PRU ke-13 ini untuk memastikan dakwat kekal dapat digunakan pada pilihan raya nanti.

Ianya termasuklah bersedia untuk menggesa kerajaan melakukan pindaan perlembagaan pada sesi persidangan Dewan Rakyat Oktober ini.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5121-buang-biometrik-guna-dakwat-kekal

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...