Sunday, August 28, 2011

Jualan Esso: Pemuda Umno, PAS mahu k'jaan berunding

Jualan Esso: Pemuda Umno, PAS mahu k'jaan berunding
Ogos 27, 11 8:33pm

Pergerakan Pemuda Umno hari ini berharap kerajaan dapat berunding dengan syarikat ExxonMobil International Holdings (ExxonMobil) mengenai tindakannya menjual 65 peratus kepentingannya dalam Esso Malaysia Bhd kepada sebuah syarikat Filipina.

NONE"Aset syarikat ini adalah strategik, maka itu perlu pertimbangan terutama apabila sudah ada tawaran yang begitu tinggi (oleh) syarikat tempatan," kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada Bernama.

Beliau mengulas tindakan syarikat petroleum Amerika yang dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menjual kepentingannya itu kepada syarikat pembuat bir terkenal dari Filipina, San Miguel Corp, yang juga konglomerat yang amat pelbagai dengan harga yang lebih rendah daripada tawaran yang dibuat oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Khairy berkata tindakan rakyat negara ini yang mahu kerajaan melihat semula mengenai perjanjian antara ExxonMobil International dengan San Miguel Corp bukan bermakna rakyat negara ini menghalang syarikat antarabangsa daripada masuk dan melabur di sini, atau tidak menghargai penglibatan mereka dalam ekonomi negara.

"Cuma kita minta kerajaan melihat semula kepada transaksi ini. Mungkin tidak boleh buat apa-apa tapi mungkin kita boleh minta supaya ExxonMobil dapat mempertimbangkan tawaran yang dibuat oleh LTAT itu," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan pek berbuka puasa kepada orang ramai di Stesen Kuala Lumpur Sentral sempena program Jom Balik Kampung.

Subsidi minyak

Sementara itu, PAS dalam satu kenyataan media mendesak kerajaan supaya menyemak semula perstrukturan subsidi minyak supaya syarikat-syarikat luar negara tidak membolot sebahagian besar jumlah subsidi kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

NONE“Kerajaan dan Petronas mestilah bertindak pantas secara strategik supaya kestabilan bekalan bahan petroleum domestik pada paras harga munasabah terus dibina dan dilindungi dan kepentingan negara tidak terhakis.

“PAS tidak akan bertolak ansur dalam isu strategik dan mempunyai impak jangka panjang kepada keselamatan negara, perkembangan ekonomi dan kepentingan rakyat Malaysia seperti penjualan Esso kepada kepentingan luar,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media.

Justeru, menurutnya, sekiranya penjualan Esso menjadi kenyataan, ia menandakan sekali lagi kegagalan kerajaan pimpinan BN bagi mempertahankan kepentingan negara dalam industri yang sangat penting dan strategik.

Katannya, ia juga membuktikan kegagalan BN untuk membela nasib 98 peratus kakitangan Esso yang merupakan anak tempatan.

“Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urusniaga tersebut dan Esso mestilah menawarkan penjualan asetnya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sebagainya.

Paras munasabah

“Perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China, iaitu CNOOC di atas kepentingan strategik,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, sepatutnya kerajaan, bersama dengan Petronas melalui Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah.

reza zamhari“Sekaligus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputra yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara.

“Walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya di dalam syer peruncitan, iaitu pasaran stesyen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan.

“Sektor inilah yang paling banyak menerima subsidi kerajaan di mana hampir 70 peratus jumlah subsidi yang dibayar dengan menggunakan wang rakyat mengalir kepada syarikat-syarikat luar negara seperti ExxonMobil, Shell dan Caltex,” katanya.

Menurut presiden PAS itu, partinya percaya bahawa keadaan pada waktu ini masih belum terlambat bagi Petronas Dagangan atau LTAT untuk memulakan perundingan bagi mengambilalih Esso.


http://malaysiakini.com/news/174302


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...