Sunday, August 28, 2011

Usaha jual Esso terus dibantah

Posted by admin on August 27th, 2011

Pergerakan Pemuda Umno hari ini berharap kerajaan dapat berunding dengan syarikat ExxonMobil International Holdings (ExxonMobil) mengenai tindakannya menjual 65 peratus kepentingannya dalam Esso Malaysia Bhd kepada sebuah syarikat Filipina.”Aset syarikat ini adalah strategik, maka itu perlu pertimbangan terutama apabila sudah ada tawaran yang begitu tinggi (oleh) syarikat tempatan,” kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau mengulas tindakan syarikat petroleum Amerika yang dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menjual kepentingannya itu kepada syarikat pembuat bir terkenal dari Filipina, San Miguel Corp, yang juga konglomerat yang amat pelbagai dengan harga yang lebih rendah daripada tawaran yang dibuat oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Khairy berkata tindakan rakyat negara ini yang mahu kerajaan melihat semula mengenai perjanjian antara ExxonMobil International dengan San Miguel Corp bukan bermakna rakyat negara ini menghalang syarikat antarabangsa daripada masuk dan melabur di sini, atau tidak menghargai penglibatan mereka dalam ekonomi negara.

“Cuma kita minta kerajaan melihat semula kepada transaksi ini. Mungkin tidak boleh buat apa-apa tapi mungkin kita boleh minta supaya ExxonMobil dapat mempertimbangkan tawaran yang dibuat oleh LTAT itu,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan pek berbuka puasa kepada orang ramai di Stesen Kuala Lumpur Sentral di sini sempena program Jom Balik Kampung.

Sementara itu, PAS pulq memandang serius cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad dan syarikat berkaitannya kepada San Miguel dan mendakwa ia satu lagi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kepentingan negara dalam industri strategik.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata urusan jualan itu jika diteruskan akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada industri minyak dalam negara.

Awal minggu ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Putrajaya memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

“Perlu diingat bahawa urusan niaga itu juga termasuk loji penapisan minyak milik Esso di Port Dickson, yang merupakan aset penting negara.

“Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urus niaga tersebut dan Esso mestilah menawarkan penjualan asetnya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” kata Hadi lagi.

Hadi menambah, perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China atas kepentingan strategik.

“Sepatutnya kerajaan yang ada ini, bersama dengan Petronas melalui Petronas Dagangan Berhad bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah.

“Sekali gus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputera yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Kata Hadi, walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya dalam syer peruncitan iaitu pasaran stesen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan.


http://www.kl-today.com/2011/08/usaha-jual-esso-terus-dibantah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...