Sunday, August 28, 2011

Kempen "Protes BN" diperhebat sempena raya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Kelab Protes Harga Barang Naik (Protes BN) yang dilancar baru-baru ini memperhebatkan aktiviti kempen mereka kepada masyarakat menjelang Aidil Fitri ini.

Jumaat lalu, kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, YB Taufik yang juga Adun Paroi telah bergerak ke Hentian Pudu bagi menyampaikan"goodies bag" kempen kepada semua pengguna yang sedang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung berhari raya.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pimpinan dan aktivis Dewan Muslimat PAS Pusat.

Antara kandungan “goddies bag” itu ialah tiga Risalah Protes ‘BN’ yang baru-baru ini dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu di Kampung Baru, biskut raya, kad hari raya PAS Pusat dan DMPP berserta pelekat kereta “Terima Kasih BN, Harga Barang Naik, Hadiah Aidil Fitri Untuk Rakyat”.

Kumpulan yang disertai lebih 15 orang aktivis dan pimpinan Kelab yang tampil secara santai ini disambut baik oleh para pengguna. Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah jam bahan yang disediakan lebih lima ratus set habis diedarkan di situ.

Kumpulan ini kemudiannya bergerak ke Jalan Masjid India setelah mendapat bantahan pihak pengurusan Hentian Pudu.

Di Jalan Masjid India pula lebih 2000 set bahan penerangan Protes ‘BN’ dan kad ucapan yang sama turut berjaya disampaikan kepada para pengunjung dalam tempoh lebih kurang sejam dan bersurai setelah hampir masuk waktu solat Juma’at.

Kempen di Jalan Masjid India telah diketuai oleh YB. Hjh Siti Zailah Mohd. Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bersama YB. Dr Siti Mariah Mahmud, Timbalan Ketua DMPP. Turut kelihatan ialah Ketua Penerangan DMPP, Saudari Aiman Athirah Al Jundi ; Che Azlina dan Hajjah Aida Yusof Rawa yang masing-masing ialah Setiausaha dan Bendahari DMPP.

Aktiviti kempen disambung kemudiannya pada sebelah petang lebih kurang jam 5.30 pm di lokasi hadapan Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Di situ lebih 1000 set bahan penerangan berjaya disampaikan kepada para pengguna yang melalui lokasi tersebut.

Jurucakap Kelab Protes ‘BN’, saudari Aiman Athirah Al Jundi yang ditemui merumuskan bahawa program kempen pada hari tersebut telah berjaya mencapai objektifnya.

"Kelab Protes ‘BN’ sangat komited untuk meningkatkan lagi segala usaha memberi kesedaran kepada rakyat akan pembaziran dan ketidakbijakan pentadbiran Najib yang akhirnya meletakkan hidup rakyat dalam kedudukan yang cukup terbeban.

"Sedangkan pada masa yang sama, elit kuasa BN bermewah dengan hasil mahsul kekayaan negara. Kami bersama dokongan padu kepimpinan Dewan Muslimat akan turun ke setiap pintu rumah bagi menggerakkan kesedaran para suri rumah bahawa kesukaran yang sedang kita lalui kini, insyaAllah ada jalan keluarnya," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5136-kempen-qprotes-bnq-diperhebat-sempena-raya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...