Friday, August 26, 2011

Isu tanah Jln Sultan: Chua jadi 'zero', kata DAP

Ogos 25, 11 12:26pm

Kenyataan terbaru pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung pengambilalihan tanah di sekitar kawasan Jalan Sultan untuk pembangunan MRT merupakan "tamparan hebat" kepada presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kata DAP.

Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata kenyataan itu Syed Hamid itu bercanggah dengan kenyataan Chua kelmarin bahawa "satu persetujuan" telah dicapai bagi membolehkan kerajaan mengambil alih hak milik strata untuk hartanah yang terletak 100 kaki di bawah tanah.

Menurut Chua, persetujuan itu akan membolehkan terowong MRT dibina pada paras berkenaan dan pada masa yang sama hak ke atas bangunan dan tanah di atas paras itu akan kekal di tangan pemilik sedia ada.

Syed Hamid bagaimanapun semalam mengumumkan bahawa SPAD kini sedang mengusahakan satu penyelesaian bagi membolehkan pengusaha terbabit kembali ke lot masing-masing selepas MRT itu siap dibina.

Ketua pegawai eksekutif SPAD sendiri, Mohd Nur Ismal Kamal pula dilaporkan berkata, tiada jaminan untuk membolehkan pengusaha tersebut kembali berniaga di kawasan masing-masing.

Perkembangan itu menunjukkan Syed Hamid telah memberikan presiden MCA itu satu "tamparan hebat," kata Pua yang mengiaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini.

"Chua sudah bertukar daripada seorang 'hero' kepada 'zero' dalam tempoh 24 jam," katanya lagi yang menambah, keputusan yang saling bercanggah seperti itu dibuat oleh kerajaan "setiap hari."

Pua juga berkata, alasan yang dikemukakan Syed Hamid berhubung sebab pengambilalihan tanah itu juga "karut semata-mata."

Jelasnya, Kanun Tanah Negara 1965 telah dipinda pada 1990 untuk membolehkan pengambilalihan kawasan di bawah tanah, tanpa menjejaskan hartanah di atas paras itu dengan penambahan Bahagian Lima (A) (Seksyen 92A hingga 92G) di bawah Klausa 3.

"Pindaan itu membolehkan tanah 'bawah tanah' itu dilupuskan, yang kemudiannya boleh diberimilik atau dipajak bagi membina terowong, kawasan parkir atau untuk memasang paip." katanya lagi.

Beliau juga mendakwa, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) cuba merampas tanah yang menempatkan lot kedai warisan di kawasan yang popular dengan gelaran Chinatown itu untuk mendapatkan keuntungan dan bukannya untuk kerja-kerja pembinaan MRT.

Tindakan untuk mendapatkan keuntungan ini menunjukkan ketidakjujuran kerajaan kerana tanah berkenaan boleh diambil tanpa menjejaskan milikan hartanah di kawasan permukaan tanah.

(Prasarana) mesti segera menarik balik arahannya ke atas pemilik tanah terlibat," katanya lagi.


http://malaysiakini.com/news/174063

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...