Friday, August 26, 2011

SPR belum tolak guna dakwat dalam PRU

Posted by admin on August 25th, 2011

Penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian dua kali masih merupakan satu pilihan yang mungkin dilaksanakan dalam pilihan raya umum akan datang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata suruhanjaya itu akan membuat keputusan “Insya-Allah menjelang pilihan raya umum akan datang.”
Beliau berkata SPR kini sedang mengkaji tiga pilihan – penggunaan dakwat kekal, penggunaan sistem biometrik, atau kedua-dua sistem itu sekaligus.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, Pejabat Peguam Negara masih mengkaji aspek undang-undang, terutamanya jika penggunaan mana-mana sistem tersebut diwajibkan.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan pengundi yang berdaftar tidak boleh dihalang daripada mengundi.

Pindaan perlembagaan tidak diperlukan jika sistem itu dibuat “secara sukarela.”

Bagaimanapun, kata Abdul Aziz, membuatnya secara sukarela pun tidak dapat mengelak berlaku pengundian dua kali.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz memaklumkan bahawa semua pengundi berdaftar Malaysia yang menetap di luar negara akan dapat mengundi melalui pos tidak lama lagi.

Beliau berharap ini dapat dilakukan dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, SPR sedang dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian.

Perubahan dalam peraturan pilihan raya ini akan memperluaskan lagi undi pos yang kini hanya untuk penjawat awam dan pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka.



http://www.kl-today.com/2011/08/spr-belum-tolak-guna-dakwat-dalam-pru/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...