There was an error in this gadget

Saturday, September 10, 2011

Mat Indera: 8 pendirian rasmi PAS

Posted by admin on September 9th, 2011

Penerangan PAS Pusat mengariskan lapan perkara sebagai pendirian tetap dan rasmi parti itu berhubung isu Mat Indera.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lapan ketetapan itu ialah;

1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu. Kata Tuan Ibrahim, pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya berbeza dengan pendapat Umno.

“Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu. “Kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat. “Dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini,” ujarnya.

Untuk pihak yang tidak bersetuju, kata beliau, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar semua pihak kembali kepada akhlak Islam dan gesaan Rasulullah agar tidak memberi gelaran yang buruk kepada yang telah meninggal dunia. “Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya. “Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau,” katanya lagi.

Ini kerana kata Tuan Ibrahim, fakta yang ada saling bertentangan antara satu sama lain.

Di satu pihak, kata Tuan Ibrahi, Mat Indera tidak pernah menganut fahaman komunisme, seorang penghafal Quran dan berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor.

Bagaimanapun, sebelah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya.

“Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tuduhan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?,” soal Tuan Ibrahim lagi.

“Jadi dalam isu ini, PAS telah membuat pendirian yang jelas. Namun, kami percaya sebagaimana jelas pun pendirian kami, media perdana tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing,” ujarnya.


http://www.kl-today.com/2011/09/mat-indera-8-pendirian-rasmi-pas/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...