There was an error in this gadget

Saturday, September 10, 2011

SPR daftar alamat pengundi tak wujud

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencipta keanehan apabila jalan yang tidak wujud turut dijadikan alamat kepada pengundi yang juga tidak wujud di sesuatu kawasan pada sesetengah negeri di seluruh negara.

Salah satu bukti berhubung perkara itu termasuklah Jalan Pintar 11 dekat Taman Universiti yang terletak dalam kawasan Dun Bangi di Selangor yang jelas tidak wujud, tetapi turut didaftarkan sebagai alamat salah seorang pengundi di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa menjelaskan, beliau amat hairan dengan tindakan SPR itu, pada hal jalan-jalan yang terdapat di kawasan itu khususnya yang membabitkan Jalan Pintar hanyalah Jalan Pintar 1, Jalan Pintar 2, Jalan Pintar 3, Jalan Pintar 4 dan Jalan Pintar 5 sahaja.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh SPR itu jelas merupakan satu manipulasi pilihanraya di negara ini dan ia dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, tindakan susulan lain yang dilakukan oleh SPR dan JPN berhubung perkara itu dengan menyenaraikan penduduk sementara sebagai pemilih dalam daftar pemilih SPR, termasuk membabitkan pengundi bagi Dun Bangi dan yang dicatatkan tinggal di Taman Universiti.

"Antaranya termasuklah Jamaluddin bin Tahir yang mempunyai kad pengenalan bernombor 840803125475, lokaliti Tmn Universiti/Tmn Tropika, daerah mengundi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dun Bangi, Parlimen Serdang di negeri Selangor," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Sesuai dengan kedudukan Jamaluddin sebagai penduduk sementara, menurut beliau, Jamaluddin diberikan kad pengenalan hijau oleh JPN dan mengikut undang-undang pula, penduduk sementara dan penduduk tetap yang mempunyai kad pengenalan merah tidak boleh mengundi.

"Dalam hubungan ini, keanehan lain pula yang wujud. Jamaluddin bin Tahir itu sendiri sememangnya tidak tinggal di kawasan itu. Malah, PAS Sungai Tangkas telah melakukan pemeriksaan dan didapati sememangnya tidak wujud orang yang bernama Jamaluddin bin Tahir yang tinggal di kawasan itu," katanya.

Berdasarkan semakan terkini yang dilakukan oleh pihak PAS didapati selain Jamaluddin bin Tahir, terdapat dua orang lagi penduduk sementara yang mempunyai kad pengenalan hijau yang turut didaftarkan sebagai pemilih oleh SPR.

Mereka terdiri daripada Numi binti Syukri yang bernombor kad pengenalan 880306115096, lokaliti Kg Bukit Payung, daerah mengundi Mukim Tenang, Dun Hulu Besut, Parlimen Besut, Terengganu.

Manakala seorang lagi, Hasmidah binti Surahbil yang mempunyai kad pengenalan bernombor 820315126446, lokaliti Taman Baiduri Jaya, daerah mengundi Bandar Teknologi Kajang, Dun Semenyih, Parlimen Hulu Langat di negeri Selangor.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mencabar SPR dan JPN bagi menjelaskan perkara itu kerana ia penuh dengan tanda tanya dan menyalahi undang-undang.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5317-spr-daftar-alamat-pengundi-tak-wujud-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...