There was an error in this gadget

Saturday, September 10, 2011

Sejarah: Fakta, kritikan & tafsiran

Posted by admin on September 9th, 2011

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu: “History cannot lie.” Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah. Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta. Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau “school of thought” yang kita pegang. Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya.

Ketulenan fakta

Maka dalam Islam, beberapa asas penting diletakkan dalam mengkaji sejarah. Asas pertama ialah kebenaran sesuatu fakta iaitu sejauh manakah sesuatu riwayat (narration) boleh dipercayai (authentic). Maka, Islam amat mengambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik. Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab “Rijal al-Hadith” iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narrators). Dikaji sifat amanah perawi, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi. Kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibanding dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai. Demikian susahnya sesebuah hadis hendak mencapai darjat “sahih”. Malangnya, apabila ilmu hadis tidak diambil berat, ramai penceramah termasuk ustaz dan ustazah yang membaca hadis palsu dalam ucapan mereka.

Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak-pihak tertentu. Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya “Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu” (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan kajiannya) menyebut: “Riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syar’i seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang Muslim, mempertikaikannya, atau memberikan gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya” (m/s 227. Mesir: Dar al-Wafa/1408H).

Ya, ini sebenarnya berasaskan arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu”. (Surah al-Hujarat: 6).

Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah dilakukan. Apatah lagi apabila membabitkan mereka yang sudah tiada, tentu pembohongan lebih mudah dilakukan. Umpamanya, betapa banyak maklumat sejarah yang menipu tentang pertelingkahan yang terjadi antara sahabat Nabi s.a.w sehingga lahirnya mazhab Syiah yang mempercayai fitnah sejarah terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Ramai yang menjadi mangsa diburukkan oleh sumber sejarah yang tidak amanah. Antara yang dimangsa Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang diburukkan oleh sumber sejarah seburuk-buruknya. Sehingga Munir Ghadban menyebut: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah s.a.w dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) mereka ini yang diperburukkan, dibohongi tentangnya dan didustakan kepadanya seperti yang dilemparkan kepada Mu’awiyah ibn Abi Sufyan r.a. (Munir al-Ghadhban, Mu’awiyah ibn Abi Sufyan, m/s 5. Damsyik: Dar al-Qalam/ 1410H).

Begitu juga Khaliah Harun al-Rasyid yang dikaitkan dengan pelbagai cerita buruk dan lucu kepadanya seperti dia sering ditipu oleh Abu Nuwas. Sedangkan Abu Nuwas itu seorang penyair yang sering memuji arak dan wanita. Syair-syairnya memuatkan keruntuhan moral. Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H): “Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat; mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak —Allah memelihara daripada itu semua! Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua, sedangkan dia dalam keadaan sering melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan sebagai khalifah, seorang yang mendampingi ulama dan auliya`, selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari, selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya”. (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m/s 17, Beirut: Dar al-Fikr/t.t)

Sebab itu, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana menfitnah dan menuduh tanpa asas.

Mengkritik teks

Setelah kita mendapat sumber yang diyakini, maka itu tidak mencukupi sebaliknya kita perlu melihat teks sejarah itu secara kritis. Perawi yang amanah mungkin juga silap dalam periwayatan. Maka, sikap kritis terhadap matan atau teks amat perlu. Bahkan, jika kita tidak mampu mengkaji kesahihan sumber sekalipun, kita boleh menggunakan nilai-nilai kritis dalam menilai sesuatu fakta. Umpamanya, saya selalu contohkan bagaimana sesetengah penceramah suka bercerita kisah ucapan Panglima tentera Islam di Andalus, Tariq bin Ziyad ketika mengucapkan kata-kata semangat kepada tenteranya: “Ke mana tempat lari? Lautan di belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada bagi kamu-demi Allah- melainkan sifat benar (kesetiaan) dan sabar”. Kononnya selepas itu Tariq membakar kapal agar tentera Islam tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan berperang terus. Kisah dijadikan kebanggaan sesetengah penceramah. Padahla kisah ini patut dikritik. Hanya mereka yang lemah minda sahaja yang menjadikan kisah dalam versi ini sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan. Riwayat ini ditolak; pertamanya; cerita bakar kapal tiada sumber yang boleh dipercayai daripada mereka yang berada pada zaman tersebut. Mereka yang selepas itu yang menyebutnya.

Keduanya; kisah itu boleh menggambarkan kebaculan tentera Islam yang terkenal dengan kepahlawanan dan kesanggupan menyeberang laut untuk membuka Andalus. Seakan jika Tariq tidak lakukan demikian mereka akan lari dari medan jihad. Ini bukan sifat tentera Islam yang membuka Andalus. Ketiga; Apakah wajar bagi Tariq yang merupakan panglima tentera yang bijak untuk membakar harta kerajaan dan kekuatan tentera Islam iaitu kapal yang boleh digunakan untuk membuka negeri yang lain pula. Kalau Tariq melakukan pembaziran demikian, tentu dia akan diambil tindakan oleh kerajaan Islam. Di sana banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan untuk membuktikan ketidak benaran kisah ini. Justeru itu, Mahmud Syakir yang merupakan tokoh sejarahwan Islam mempertikaikan kisah ini di dalam buku kecilnya Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy. Sesiapa yang ingin pendetilan bantahan terhadap kisah ini boleh merujuk kepada buku tersebut.

Maka ketajaman minda dalam melakukan textual criticism atau kritikan matan adalah sesuatu yang penting dalam mengkaji sejarah. ‘Abd al-Rahman Fakhuri dalam membincangkan sejarah pertelingkahan para sahabat mengatakan: “Sejarah bukan sekadar suatu cerita yang dicampakkan di tengah jalan, yang penulisnya memilih apa yang dia suka dan meninggalkan apa yang dia tidak suka. Sesungguhnya terdapat dua kaedah kritikan yang mesti dibuat terhadap setiap riwayat sejarah sebelum dibuat keputusan untuk menerima atau menolaknya. Pertama: Mengkritik sanad, ini bermakna mengkaji para perawi dan pembawanya. Dipastikan dari sudut kesinambungan sanadnya adalah sahih dan terselamat daripada sebarang kecacatan yang tersembunyi. Perbincangan secara panjang lebar telah diperkenalkan oleh ahli hadis dan para pengkritiknya (pengkaji hadis), tidak mengetahui ilmu ini melainkan mereka sahaja. Kedua: Mengkritik matan (teks)”. (‘Abd al-Rahman Fakhuri, Muqaddimah Miftah al-Jamaah, m/s 77, Mesir: Dar as-Salam/1990M).

Tafsiran

Setelah melalui dua proses di atas, barulah tafsiran terhadap sesuatu fakta sejarah boleh dibuat. Siapa yang hendak diangkat menjadi wira dan siapa pula yang hendak diangkat menjadi musuh atau pengkhinat, banyak bergantung kepada tafsiran. Setiap orang mempunyai aliran dan sudut pandangan yang tersendiri. Namun, di sana ada perkara yang jelas lagi terang antara baik dan buruk, malaikat dan syaitan, Tuhan dan Iblis yang setiap pihak wajib akur kepada nilai yang sama itu. Di sana ada fakta yang kabur atau sesuatu yang boleh diberikan pelbagai tafsiran. Boleh dilihat baik dari satu sudut, mungkin tidak baik di sudut yang lain. Juga, baik pada sesetengah pihak, buruk pada pihak yang lain.

Umpamanya, dalam masyarakat feudal yang taat membuta tuli kepada Sultan dan raja Melayu akan menganggap Hang Tuah sebagai tokoh dan wira. Tindakannya menculik Tun Teja juga mungkin dipandang mulia. Namun dalam masyarakat yang merdeka dan bertamadun, Hang Tuah —jika benar watak seperti itu wujud dalam sejarah — akan ditafsirkan sebagai manusia berjiwa hamba, dangkal, tiada bermaruah dan tidak berprinsip. Perbezaan nilai, membezakan tafsiran.

Apa pun seorang Muslim yang mengkaji fakta sejarah hendaklah akur kepada firman Allah dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

Kita hendaklah akur kepada apa yang benar dalam sejarah dengan memberikan tafsiran yang adil tanpa khianat. Nilai pertimbangannya ialah nilai-nilai keadilan sejagat yang diputuskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia.



http://www.kl-today.com/2011/09/sejarah-fakta-kritikan-tafsiran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...