Saturday, September 10, 2011

Rakyat marah cukai atas kad prabayar

Posted by admin on September 9th, 2011

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini tidak sepatutnya membebankan pengguna dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus untuk pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bermula 15 September ini.Apa yang mereka rancang untuk lakukan itu, hanya mencerminkan sikap tamak haloba sedangkan kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini mendapat keuntungan yang sangat besar saban tahun.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sebelum ini semua syarikat telekomunikasi menanggung beban cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Kerajaan dan masih mampu mengaut keuntungan lumayan setiap tahun.

Justeru itu, adalah sangat wajar untuk syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit terus menanggung caj perkhidmatan berkenaan jangan bersifat tamak dengan meletakkan beban tersebut kepada rakyat untuk mendapatkan keuntungan yang lebih.

“Saya berpendirian bahawa syarikat-syarikat terbabit patut terus menanggung cukai perkhidmatan tersebut kerana sebelum ini pun mereka masih mengaut keuntungan berbilion setiap tahun tanpa membebankan pengguna dengan caj perkhidmatan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak senada dengan kenyataan FOMCA dan pihaknya menentang keras tindakan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan caj perkhidmatan terhadap pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan syarikat-syarikat itu seolah-olah membuli pengguna ketika kenaikan harga barangan lain dan meminta campur tangan kerajaan untuk menangani kemelut yang sedang dihadapi pengguna.

“Kami menentang sekeras-kerasnya tindakan syarikat-syarikat terbabit kerana ia membebankan pengguna.

“Kami memohon kepada Kerajaan agar bertegas dan campur tangan dalam hal ini demi kepentingan rakyat negara ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa PPIM sedang memikirkan tindakan sewajarnya kepada syarikat telekomunikasi sekiranya mereka berdegil untuk mengenakan caj perkhidmatan tersebut.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Pengguna Johor, Mohammed A. Jalal juga bersetuju dengan kenyataan FOMCA tersebut dan menuntut agar syarikat-syarikat telekomunikasi negara prihatin terhadap kepentingan pengguna negara ini.

“Tidak wajar..tidak patut sama sekali, mereka perlu prihatin kepada kepentingan pengguna dan melakukan tanggungjawab sosial mereka dengan tidak berlaku tamak untuk mengaut keuntungan sebegitu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar syarikat telekomunikasi tersebut berbincang dan mengemukakan cadangan terlebih dahulu kepada Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum mengenakan sebarang caj kepada rakyat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Perak, K. Paul Raj berkata, caj sewa bulanan yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini sudah tinggi berbanding negara lain dan tindakan mengenakan caj perkhidmatan ini akan meningkatkan kos pengunaan.

“Memang pengguna tak setuju, caj sewa bulanan telefon mobil tinggi di Malaysia, kalau kos naik, dari mana dapat wang untuk bayar,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (sms).

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengguna Air Keroh (PPAK), Safina Sulaiman berkata, caj perkhidmatan sebanyak enam peratus ini sememangnya menyusahkan pengguna, terutamanya kepada pelajar dan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

“Bagi saya, peningkatan ini memang membeban dan menyusahkan para pengguna terutama ‘student’ dan orang-orang kampung yang berpendapatan rendah”, katanya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi semalam memberitahu media mengenai pengenalan caj perkhidmatan sebanyak enam peratus yang akan dikenakan kepada para pelanggan mereka bermula 15 September ini melalui Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Akta tersebut memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.


http://www.kl-today.com/2011/09/rakyat-marah-cukai-atas-kad-prabayar/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...