Kerajaan BN ternyata terus kekal dengan ketidakadilannya apabila menganaktirikan 12 juta pekerja yang juga rakyat negara ini menerusi Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam.Menerusi bajet tersebut, kerajaan hanya mementingkan 1.3 juta pekerja sahaja yang juga para penjawat awam dengan kenaikan gaji RM500 sebulan mulai tahun hadapan, tetapi menafikan hak pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, dengan ketidakadilan itu, bajet tersebut ternyata hanya bersifat one off dan ia tetap gagal menyelesaikan masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat negara ini.
Menurut beliau, dengan itu, bajet tersebut jelas bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat bagi memancing undi pilihanraya, tetapi tetap gagal menyelesaikan permasalahan dan bebanan yang dialami oleh rayat dalam jangka masa panjang.
Katanya, ketidakikhlasan Kerajaan BN dalam membantu rakyat turut kelihatan apabila bekas polis dan tentera termasuk yang bertugas ketika zaman darurat sama ada balu, duda dan sebagainya hanya baru dibantu sekarang dengan sumbangan RM3,000 seorang.
“Pada hal mereka sepatutnya dah lama diberikan bantuan seperti itu. Kenapa baru sekarang hendak diberikan?” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, kesemua pihak terbabit wajar menerima sumbangan tersebut kerana ia sememangnya merupakan hak mereka sendiri yang sepatutnya sudah lama diberikan oleh kerajaan.
Katanya, sungguhpun begitu, Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap meragui sama ada sumbangan tersebut benar-benar akan sampai kepada sasaran.
“Sejak dulu, BN sememangnya terkenal dengan masalah ketirisan dalam pengagihan sumbangan-sumbangan seperti itu kepada golongan sasar.
“Kali ini, pelbagai pihak turut meragui sama ada wang tersebut akan sampai sepenuhnya kepada sasaran atau tidak atau tetap terus tiris di tengah jalan juga seperti yang lalu,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan gula-gula BN itu kerana ia tetap tidak akan memihak kepada rakyat.
Katanya, bajet tersebut jelas merupakan bajet pilihanraya dengan pelbagai pemberian menarik daripada Kerajaan BN kepada rakyat untuk dinikmati dalam jangka masa pendek, tetapi terus membebankan orang ramai setelah selesai pilihanraya.
“Sebelum pilihanraya, mereka sanggup memberikan apa sahaja kepada rakyat dengan melibatkan peruntukan yang besar, tetapi setelah selesai pilihanraya dan kemenangan pula berpihak kepada mereka, rakyat pasti akan dikenakan pelbagai bebanan lain pula nanti.
“Jika dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dimenangani oleh BN juga, selesai sahaja pilihanraya, barangan keperluan utama rakyat pasti akan dinaikkan secara mendadak oleh kerajaan, di samping pelbagai jenis cukai,” katanya.
Permainan seperti itu, menurutnya, sememangnya telah dilakukan oleh BN sejak dulu dan ia amat perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini agar tidak terus tertipu.
Malah sekarangpun, katanya, rakyat juga boleh menilai tentang permainan BN itu apabila banyak juga peruntukan lain yang disediakan itu jelas memberikan keuntungan kepada para pemimpin BN dan kroni-kroni mereka sendiri.
“Tindakan itu dilakukan menerusi pemberian subsidi tertentu kepada pihak-pihak terbabit, tetapi tidak pula ditambah peruntukan subsidi petroleum bagi menurunkan harga minyak untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang ramai,” ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Ketua dan dua AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Adram Musa.
http://www.kl-today.com/2011/10/pas-bajet-anaktirikan-12-juta-pekerja/
No comments:
Post a Comment