“Selepas meneliti dengan mendalam laporan disediakan oleh Jais dan selepas memperoleh nasihat daripada pihak berkuasa agama dan pakar perundangan, kami memutuskan bahawa tiada pendakwaan akan dikenakan ke atas mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Titah baginda, merujuk kepada siasatan Jais, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam tetapi keterangan yang diperoleh tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.
“Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak Jais dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
“Walau bagaimanapun beta menitahkan Jais memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipulihkan,” titah baginda.
Sementara itu, peguam yang bertindak bagi Harapan Komuniti, NGO yang menyokong kumpulan HIV, Annou Xavier, mengucapkan terima kasih kepada Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan baginda mengenai siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia bagi kenyataan yang sangat tepat pada masanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau bersetuju dengan sultan bahawa pemeriksaan itu adalah betul dan tidak menyalahi undang-undang negeri tetapi berpendapat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menjalankan siasatan dengan cara yang lebih profesional.
“Ini juga menunjukkan bahawa badan agama Islam, seperti JAIS dalam kes ini, sepatutnya menjalankan siasatan dengan lebih profesional kerana laporan awal secara sembunyi-sembunyi yang dibocorkan kepada blogger telah menyalahkan Harapan Komuniti sedangkan siasatan masih berlangsung dan laporan akhir belum diterima. “
Sultan Selangor juga menitahkan Jais supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.
“Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam dalam Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan,” tambah baginda.
Sultan Selangor menjelaskan, baginda Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan Jais yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis kesyukuran yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya Ogos lalu.
“Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan Jais tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak Jais,” titah baginda.
Sultan Selangor seterusnya bertitah, tindakan Jais tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.
Titah baginda, agama Islam yang diamalkan dalam Selangor adalah sebuah agama yang penuh toleransi dan penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.
http://www.kl-today.com/2011/10/tiada-bukti-kukuh-dakwaan-pesong-akidah/
No comments:
Post a Comment