Wednesday, September 17, 2008

Bagaimana Bank Lehman Brothers muflis


SEORANG lelaki melihat papan tanda elektronik yang menunjukkan nilai saham jatuh di Tokyo semalam.


NEW YORK – Bank Lehman Brothers yang menggegarkan sistem kewangan Amerika Syarikat (AS) dengan mengisytiharkan muflis kelmarin mengalami kerugian AS$3.9 bilion (RM13.47 bilion) dalam suku ketiga fiskal sehingga akhir Ogos lalu.


Bank itu turut rugi AS$2.8 bilion (RM9.6 bilion) dalam suku kedua.
Nilai saham bank itu merosot daripada AS$66 (RM228) pada Februari lalu kepada hanya kurang AS$10 (RM34.50).


Firma Lehman Brothers Inc., yang memiliki bank itu ditubuhkan pada 1850 di Montgomery, Alabama, AS apabila Henry Lehman, seorang imigran Jerman disertai adiknya, Emanuel dan Mayer memulakan operasi perdagangan kapas.


Pada 1858, ketiga-tiga mereka membuka sebuah pejabat di New York.
Richard Fuld menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sejak tahun 1993 dan pengerusi lembaga pengarah sejak 1994.


Firma itu mempunyai 28,500 pekerja pada akhir 2007 tetapi mengurangkan 1,500 pekerja bagi menghadapi krisis ekonomi dan kewangan.


Selepas ibu pejabatnya musnah akibat serangan pengganas pada 11 September 2001 ke atas bangunan World Trade Centre (WTC), syarikat itu membeli ibu pejabat baru di Seventh Avenue dekat Times Square.


Ia juga mempunyai pejabat di London dan Tokyo.


Firma itu gagal untuk mencari rakan pelaburan untuk meneruskan hayatnya.


Lehman Brothers menjadi mangsa terbaru krisis gadai janji subprima yang bermula akibat satu gelombang perampasan harta oleh peminjam berisiko tinggi di AS yang kini mengancam sistem kewangan global.


Subprima bermaksud memberikan pinjaman-injaman ke atas individu yang berisiko tinggi tetapi mereka mungkin gagal untuk melunaskan pinjaman.
Firma itu melupuskan hutang AS$13.8 bilion (RM47.67 bilion) berkaitan krisis gadai janji subprima AS.


Pengisytiharan muflis itu dilakukan selepas Simpanan Persekutuan AS enggan menggunakan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan bank berkenaan. – Agensi



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...