Wednesday, September 17, 2008

'Tolonglah, kami perlu makan'


Oleh SUHANA YUSOP dan SHAWKATH AZDE
khas@kosmo.com.my



WARGA Bangladesh berkongsi makanan ketika berbuka puasa di bawah jambatan di tepi Sungai Klang berhampiran stesen LRT Damai, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Tolonglah ambil kami bekerja. Kami perlu duit nak beli makanan agar kami dapat terus hidup sementara menunggu bantuan untuk selamatkan kami".


Itulah rintihan Soyful yang mewakili rakan-rakan Bangladesh yang lain yang tidak lagi memikirkan kesenangan yang dijanjikan ejen ketika datang ke negara ini dulu.


Tak ubah seperti pengemis, mereka tiada pilihan selain meneruskan hidup dengan memakan sisa buangan yang dikutip dan meminum air sungai yang telah tercemar.


Hidup merempat bukan kehendak mereka tetapi selagi tiada siapa yang membantu, selagi itulah hidup mereka terpaksa merayu simpati orang ramai.


"Dapat beli nasi sebungkus, kami makan ramai-ramai dan cuma boleh makan sekali sehari sebab mahu berjimat kalau tidak kena berlapar.


"Dalam bulan puasa ini kami pergi makan di masjid-masjid bila waktu berbuka, dapatlah makan sedap sikit," katanya yang ditemui di bawah jambatan Sungai Klang berdekatan dengan stesen LRT Damai, di sini bersama-sama rakannya.


Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan kehidupan mereka yang terpaksa menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tinggal setelah terkandas akibat didakwa ditipu ejen pekerja di sini.


Menurut seorang rakannya yang hanya dikenali sebagai Mejin, 27, mereka tidak ada pilihan selain memohon ihsan sesiapa sahaja yang sudi mengambil mereka bekerja.


"Kami benar-benar terdesak sekarang dan apa sahaja yang boleh mendatangkan duit, akan kami lakukan asalkan halal.


"Duit bukan untuk bersenang-lenang tetapi hanya untuk mengisi perut bagi meneruskan hidup," jelasnya lagi.


Bagi rakannya yang dipanggil Ashraful pula, halangan untuk mendapat kerja ialah kerana mereka tidak mempunyai pasport.


"Kami ke sini dulu ada pasport tetapi apabila ejen sudah tipu kami, semua dokumen perjalanan kami turut lesap.


"Sekarang ini, siapa pun tak berani hendak ambil kami bekerja kerana bimbang akan ditangkap polis," katanya.


Tinjauan Kosmo! ke 'perkampungan' warga Bangladesh ini menyaksikan mereka kembali mendominasi kawasan tersebut yang satu masa dulu menjadi milik mereka.




http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...