Wednesday, September 17, 2008

Panik, panik di seluruh dunia


SEJUMLAH orang berjalan melepasi ibu pejabat firma Lehman Brothers di New York semalam.


NEW YORK – Pasaran saham di Eropah dan beberapa negara Asia semalam mencatatkan penurunan terendah dalam sejarah berikutan suasana panik selepas bank pelaburan keempat terbesar di dunia, Lehman Brothers memfailkan pengisytiharan muflis.


Kelmarin, indeks pasaran saham Dow Jones di New York menurun secara purata 504 mata ketika ditutup iaitu turun 4.5 peratus - yang terburuk dalam sejarah sejak serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS.
Indeks di Dow Jones juga jatuh 58.70 mata kepada 10,858 dalam tempoh hanya 10 minit ketika dibuka pada waktu pagi semalam.


Firma Lehman Brothers Inc., yang memiliki Bank Lehman Brothers mengumumkan memfaikan pengisytiharan muflis di Mahkamah Bankrap AS di New York pada pagi kelmarin sekali gus mencetuskan kegemparan dalam pasaran kewangan di seluruh dunia.


Berikutan pengisytiharan itu, indeks pasaran saham di New Zealand, NZX-50 jatuh 2.87 peratus semalam iaitu yang terbesar dalam tempoh enam tahun.


Di Tokyo, indeks pasaran saham Nikkei jatuh 4.95 peratus kepada 11,609.72 iaitu yang terendah sejak 8 Julai 2005.


Pasaran saham di London pada waktu tengah hari juga terus menunjukkan penurunan berikutan runtuhnya institusi kewangan Lehman Brothers.
Pada waktu tengah hari semalam, pasaran saham di London jatuh 153.1 mata dan mencatatkan indeks 4,997.2 mata iaitu yang terendah sejak Jun 2005.


Pasaran saham di Rusia turut tidak terkecuali menerima nasib yang sama apabila indeks jatuh lebih 10 peratus kepada 1,149 mata.


“Panik sudah mengenggam pasaran saham Rusia,” kata tajuk agensi berita Interfax.


Suasana cemas itu juga menyebabkan Bank of England menyuntik tambahan £20 bilion (RM123 bilion) ke dalam pasaran semalam.


Bank of Japan turut berbuat demikian dengan menyuntik 2.5 trilion yen (AS$82.95 bilion) ke pasaran dan pegawai-pegawai cuba menenteramkan kebimbangan berhubung krisis kewangan. – Agensi



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...