Friday, October 24, 2008

Angkara Boy Dragon

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my



HILANG...Fatimah menunjukkan gambar Nur Syuhadah.


JOHOR BAHRU: Angkara abang ‘Boy Dragon’ yang hanya dikenali sebulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sanggup menipu ahli keluarganya dengan memberi alasan mahu beraya ke rumah rakan di pusat bandar raya supaya mampu berpakat dengan kekasihnya itu untuk lari dari rumah.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Fatimah Muhamed Tung, 41, berkata perbuatan anak bongsu daripada dua beradik itu membimbangkan ahli keluarganya berikutan kanak-kanak itu yang menghilangkan diri sejak Jumaat lalu masih gagal dikesan sehingga kini.

Menurutnya, anaknya, Nur Syuhadah Selamat atau lebih mesra dengan gelaran Adah juga sanggup meninggalkan kediaman keluarganya di Jalan Masjid, Kampung Sungai Danga, Taman Perling, di sini, sehelai sepinggang akibat menjadi mangsa pujuk rayu Boy Dragon yang berpura-pura sebagai remaja lelaki kaya dari Singapura.

“Ketika Adah keluar rumah, saya berada di tempat kerja, manakala anak sulung saya pula ke sekolah. Saya diberitahu beberapa jiran yang mendakwa melihatnya berjalan kaki bersama seorang remaja lelaki berhampiran laluan keluar kampung.


“Kami pada mulanya menjangka dia hanya keluar beraya kerana beberapa hari sebelum itu Adah pernah menyatakan ingin ke rumah rakan sekolahnya.

“Kami mula risau apabila dia tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Perling pada 18 Oktober lalu.

Fatimah berkata, dia yakin tindakan Adah meninggalkan keluarga selepas berkawan dengan lelaki berusia 19 tahun itu.

“Adah kerap bercerita mengenai lelaki itu. Boy Dragon dikatakan sebagai bekas teman lelaki seorang rakan sekolahnya.

“Demi kebaikan masa depan Adah, saya dan anak sulung terpaksa mengambil keputusan untuk mengambil semula telefon bimbit Adah supaya dia tidak kerap berhubung dengan Boy Dragon kerana pada usia mentah sepertinya, seseorang itu mudah terjebak dengan pelbagai perkara buruk,” katanya.

Menurutnya, difahamkan remaja lelaki itu pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di pusat bandar raya.

“Usaha keluarga kami bertemu dengan keluarga Boy Dragon juga tidak menyelesaikan masalah ini kerana ibu bapanya mendakwa anak mereka sudah lama tidak pulang ke rumah,” katanya.

Pekerja bahagian penyelenggaraan hotel itu berkata, dia juga kian bimbang keselamatan anaknya dan bersolat hajat setiap hari supaya Adah kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.

“Tambahan pula saya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak arwah suami, Selamat Mohd Said, 63, meninggal dunia setahun lalu, “ katanya.

Fatimah berkata, selain ibu saudara Adah dari Kuala Lumpur, abang tiri yang tinggal di beberapa kawasan di Johor Bahru juga menjalankan usaha bagi mengesannya.

“Kami berdoa supaya Allah selamatkan Adah daripada sebarang ancaman dan dia insaf di atas kesilapannya.

“Adah yang berpakaian jeans dan berbaju-T ketika keluar rumah mempunyai rambut lurus dan pendek, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.

“Kami meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Adah supaya segera menghubungi talian 012-7966604 atau 07-2411217,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/24102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...