Friday, October 24, 2008

Populariti chef Filipina

Chef Filipina sentiasa mempunyai permintaan kerana mereka mahir berbahasa Inggeris, rajin dan mempunyai tingkah laku yang baik.



--------------------------------------------------------------------------------

FILIPINA terkenal dengan keupayaannya menghasilkan pekerja bertauliah dalam bidang kelasi, kejururawatan, penjaga anak dan pembantu rumah, kini mengeksport pekerja berkemahiran dalam bidang masakan.

"Hari ini chef bagaikan seorang bintang popular. Tiba-tiba semua orang mahu menjadi chef," kata Ian Padilla, seorang chef berpengalaman di restoran Parsi, Taillevent, sebuah tempat makan dua bintang.

"Bila saya mula dahulu, jarang dengar tentang sekolah kulinari. Tidak ada chef langsung. Yang ada cuma tukang masak. Tetapi sesudah balik ke sini, banyak sekolah kulinari diwujudkan," kata Padilla yang kembali menjadi juri di sebuah pertandingan masakan.

Pada tahun 2000, hanya sebuah sekolah kulinari ditubuhkan di Filipina. Hari ini, bilangannya bertambah kepada hampir 400 buah sekolah masakan. Dijangkakan lebih banyak akan dibuka pada masa akan datang.

Keterujaan yang ditunjukkan oleh orang Filipina bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sememangnya berlaku kekurangan tenaga chef di peringkat global.


SEORANG graduan dari sekolah kulinari boleh memperoleh pendapatan setinggi RM13,997 sebulan.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang graduan dari sekolah kulinari boleh memperoleh pendapatan setinggi AS$4,000 (RM13,997) sebulan. Tawaran ini cukup tinggi berbanding anggaran pendapatan negara yang hanya jatuh dalam lingkungan 10,000 hingga 15,000 peso (AS$214-AS$321 atau RM748-RM1,123) sebulan.

Kira-kira sembilan juta penduduk Filipina bekerja di luar negara dan kebanyakannya melakukan kerja-kerja berkelas rendah dengan menghantar pulang hampir AS$1 bilion (RM3.4 bilion) ke kampung halaman. Ini sedikit sebanyak membantu mengekalkan dan menyokong pertukaran mata wang di peringkat ekonomi.

Dengan kadar pengangguran yang melebihi paras tujuh peratus dan tempias kenaikan harga minyak dan makanan, ramai warga tempatan mencari peluang pekerjaan di negara asing.

Sektor kejururawatan merupakan salah satu profesion yang terkenal di kalangan warga Filipina. Ini kerana ia berkemampuan menjana pendapatan sekitar AS$1,000 hingga AS$4,000 (RM3,500 hingga RM14,002) dalam sebulan di luar negara.

Mereka yang berpendidikan boleh bekerja di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan juga negara-negara di Timur Tengah disebabkan ketandusan pekerja perubatan di peringkat antarabangsa.

Namun, seseorang itu perlu menamatkan pengajian selama empat tahun sebelum bergelar jururawat berbanding seorang chef yang memerlukan hanya sebulan untuk mendapatkan sijil.

Peringkat pengajian diploma mengambil masa selama 14 bulan. Meskipun masanya singkat, harga yang dibayar amat tinggi.

Di Sekolah Kulinari dan Pengurusan Hotel Gandler Antarabangsa, yuran tuisyen untuk kursus Diploma kulinari selama 14 bulan bernilai 310,000 peso (AS$6,675 atau RM23,352).

Amaun ini mungkin sukar ditanggung oleh warga Filipina yang berstatus sederhana.

Bagaimanapun, pendaftaran di sekolah kulinari yang baru diwujudkan lima tahun lalu oleh Chef Austria, Norbert Gandler, penuh dengan pembabitan meluas dalam kawalan pengoperasian dapur di hotel lima bintang di Filipina. "Malah, kita sudah ada senarai menunggu," ujar Gandler.

Tahun lalu, Filipina menghantar 8,400 orang ke bilik dapur di seluruh dunia. Dua pertiga daripada mereka bertugas sebagai chef dan tukang masak.

Pada tahun 2000, kurang daripada 1,900 warga Filipina bekerja di luar negara dalam bidang yang sama. Jumlah ini agak kecil jika disamakan dengan pekerja-pekerja domestik dan kelasi.

Dianggarkan sebanyak 50,000 warga Filipina meninggalkan negara pada tahun lalu untuk bekerja sebagai pembantu rumah untuk kali pertama manakala 230,000 lagi sebagai pekerja di laut.

"Satu hari nanti, saya berharap dapat mengecapi kejayaan yang dinikmati oleh mereka yang pergi sebelum ini," jelas Fitz Gerald Carpio, salah seorang pelajar yang bertanding dalam Festival Kulinari Manila, Filipina.


SESEORANG itu perlu menamatkan pengajian selama empat tahun sebelum bergelar jururawat berbanding seorang chef yang memerlukan hanya sebulan.

--------------------------------------------------------------------------------

Chef Filipina sentiasa mempunyai permintaan di pasaran global memandangkan mereka mahir berbahasa Inggeris, rajin dan berperangai baik.

"Sekarang ini, England memerlukan 300 orang chef dan pencarian dilakukan melalui pertandingan sebegini," kata Michaela Fenix Makabenta, seorang kolumnis dan ketua pengarang Food Magazine.

"Kita menghantar mereka ke luar negara sejurus selepas graduasi," sambungnya. "Ia adalah saluran paling senang untuk menembusi pasaran antarabangsa."

Seperti Australia, keutamaan chef sangat tinggi. Jika anda memohon, pasti dapat. Chef Filipina boleh ditemui di atas kapal persiaran, hospital dan kem tentera di Timur Tengah.

Sekiranya bertuah, anda mungkin diambil kerja di istana atau restoran mewah milik Sheikh. "Saya telah melawat banyak restoran dan setiap tempat ada sekurang-sekurangnya satu pekerja Filipina di bahagian dapur," kata Richard Tan, seorang chef dan pengajar di Institut Hospitaliti dan Seni Kulinari. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/24102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...