Friday, October 24, 2008
"Apa hak dia?" Abdullah
20 Oct 2008 11:03AM
KK: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin membidas mantan perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain yang mahu beliau mempercepat langkah meletak jawatan.
Dalam satu sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu Sabtu lalu, Datuk Seri Abdullah menuduh Dr Mahathir cuba 'mencetus pergolakan, kemarahan dan kebencian' dalam Umno, lapor agensi berita Bernama.
Menurutnya Dr Mahathir berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan 'siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan'.
'Siapa dia Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?
'Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu, orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?' tanya Datuk Seri Abdullah.
Beliau berkata begitu semasa mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mahu perwakilan Umno 'mengusir orang-orang Abdullah' dalam pemilihan parti itu Mac depan.
'Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. .
'Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno,' kata beliau.
Datuk Seri Abdullah juga membidas Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang mahu peletakan jawatan beliau dipercepatkan sebelum Mac tahun depan.
'Yang jelas sudah ada persetujuan. Mengapa diungkit lagi? Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itu pun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,' kata beliau. / AP, Bernama
http://www.klpos.com/news/2008/10/20/5.html
No comments:
Post a Comment