Friday, October 24, 2008

Sekolah pendam lebih 10 aduan

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


SEREMBAN: Tindakan dua pelajar tingkatan satu membuat laporan polis mendakwa dicabul seorang guru lelaki sekolah rendah membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila ada lebih 10 aduan mengenai perbuatannya dibuat kepada guru besar sejak setahun lalu.

Mulanya polis menerima dua laporan mendakwa guru berkenaan mencabul kedua-dua mangsa ketika mereka di tahun enam.

Siasatan lanjut mendapati sejak setahun lalu, ramai lagi murid lelaki membuat aduan kepada guru besar mendakwa dicabul di pelbagai lokasi.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh, berkata sebelum ini, tiada seorangpun membuat laporan polis sehingga kedua-dua mangsa tampil baru-baru ini.


“Kami mendapati ramai lagi murid membuat laporan kepada pihak sekolah, tetapi tidak dipanjangkan kepada polis,” katanya.


Menurutnya, polis akan merekodkan kenyataan daripada guru, mangsa serta beberapa rakan mangsa yang mendakwa dicabul.

“Siasatan turut mendapati ada murid mendakwa dipaksa melakukan seks oral, tetapi kami belum dapat pastikan sama ada ada mangsa diserang secara seksual,” katanya.

Beliau berkata, sesetengah mangsa terlalu muda sehingga tidak sedar mereka dicabul.

“Kami meminta mereka yang menjadi mangsa tampil membantu siasatan. Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci,” katanya yang mengesahkan guru itu sudah ditahan.

Difahamkan, guru terbabit sudah bertugas selama lima tahun di sekolah berkenaan dan memegang tanggungjawab sebagai penolong kanan kokurikulum serta jurulatih hoki sekolah.

Sementara itu, seorang guru yang enggan dikenali mendakwa kebanyakan tenaga pengajar di sekolah itu sedar perbuatan guru terbabit, termasuk bekas guru besar.

“Tetapi kerana sebab tertentu, mereka menutup mulut. Ada juga murid mendakwa guru itu memberi duit untuk merahsiakan perbuatannya. Dia juga ada menghadiahkan telefon bimbit kepada seorang murid,” katanya.

Guru itu mendakwa suspek juga mencabul muridnya ketika rombongan sekolah, tetapi kebanyakan berlaku ketika pendidikan kokurikulum.

“Kami dimaklumkan ada sesetengah murid pergi ke rumahnya selepas waktu sekolah dengan alasan mengikuti tuisyen,” katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad pula berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk menentukan tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap guru terbabit.

“Siasatan kes itu kami serahkan kepada polis, tetapi kami turut menjalankan siasatan dalaman serta menyoal bekas guru besar serta mereka yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, dakwaan itu amat serius dan tindakan tegas perlu diambil bagi keadilan semua pihak.

http://www.hmetro.com.my/24102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...