Monday, October 27, 2008

Antara Diwali dan Deepavali


Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my


Sebenarnya, Diwali disambut sehari selepas Deepavali tetapi di Malaysia, kami telah menyelarasnya agar diraikan bersama perayaan Deepavali oleh kaum India.




--------------------------------------------------------------------------------

SAMA tapi tak serupa. Ramai yang tidak tahu bahawa sejarah sambutan Deepavali berbeza dengan Diwali. Cara sambutannya mungkin bertindih tetapi di sebalik gemerlapan cahaya pelita, manisan dan lilitan sari yang menawan, Dr. Harwindar Singh berkongsi kisah permulaan perayaan Diwali di bahagian utara India.

Semasa pemerintah Mughal, Jahangir (1570-1627) berkuasa, baginda telah mengeluarkan arahan supaya menangkap Guru yang ke-6 dalam kepercayaan agama Sikh iaitu Sri Guru Hargobind Sahib Ji. Beliau ditangkap bersama 52 raja Hindu yang lain sebelum dipenjara.

Pada ketika itu, Jahangir yang sering mendapat mimpi buruk, mendapatkan nasihat daripada ahli jawatankuasa agama yang menyarankannya supaya membebaskan banduan-banduan yang tidak bersalah.

"Salah seorang daripada ahli jawatankuasa itu mendakwa bahawa mimpi buruk itu mempunyai kaitan dengan penahanan seorang utusan Tuhan (merujuk kepada Sri Guru Hargobind Sahib Ji). Sebaik sahaja mendengar pendapat itu, Jahangir memutuskan supaya segera membebaskan Sri Guru Hargobind," ujar Harwindar, 50, ketika ditemui di rumahnya di Taman Setapak, Kuala Lumpur.



SUASANA harmoni bersama keluarga dan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah pada perayaan Diwali.

--------------------------------------------------------------------------------


Namun, Sri Guru Hargobind enggan akur pada titah baginda kecuali jika 52 orang tahanan lain dibebaskan bersamanya. Mendengar kata-katanya, Jahangir meletakkan syarat bahawa sesiapa yang dapat memegang erat kurta (baju) Jahangir akan dibenarkan pulang bersama.

Mendengar perintah ini, seorang wanita tua dikatakan menjahit sehelai kurta dengan 52 utas benang yang digantung pada baju tersebut.

Akhirnya, mereka semua berjaya berjalan keluar dari tahanan di bandar Gwalior dan Sri Guru Hargobind diperingati kerana cintanya terhadap masyarakat Sikh dengan menganjurkan sebuah perayaan yang meriah.



AMRIT KAUR (kiri) bermain harmonium dan Akaaljot Singh (kanan) memukul gendang tabla pada pagi Diwali.

--------------------------------------------------------------------------------

Ironinya ialah ketika itu masyarakat India menyambut Deepavali. Lalu, masyarakat Sikh di Darbar Sahib, Amritsar, India turut serta dan mengenalinya sebagai Bandi Chod Diwas yang bermaksud Diwali dalam bahasa Punjabi.

"Berbalik kepada asas pengajaran moral di sebalik mengenang sejarah lampau ini, Deepavali disambut setelah kuasa jahat (Narakasura) ditumpaskan oleh Dewa Krishna. Bagi Diwali pula, kebenaran berjaya mengatasi kezaliman," ujarnya sambil menguntum senyuman.

Hari ini, sambutan Diwali dilihat sebagai satu lembaran baru dalam kehidupan masyarakat Punjabi yang tersebar meluas ke seluruh dunia. Dari Australia ke Afrika Selatan hinggalah ke kota metropolitan New York, masyarakat Punjabi berusaha mengecapi kejayaan dan kekayaan dan pada masa yang sama, sentiasa berpegang kepada akar umbi ajaran nenek moyang.

Di Malaysia, 0.008 peratus atau kira-kira 200,000 orang adalah penganut beragama Sikh. Kata Harwindar, mereka mempunyai hampir 119 buah Gurdwaras atau pusat menunaikan sembahyang.



ARCOIN DARJIT KAUR khusyuk membaca kitab suci agama Sikh.

--------------------------------------------------------------------------------

Pusat ini memainkan peranan penting kerana ia bukan sahaja menjadi titik tumpuan penyebaran ajaran agama tetapi para jemaah akan berhimpun di sini pada hari Diwali.

"Sebenarnya, Diwali disambut sehari selepas Deepavali tetapi di Malaysia, kami telah menyelarasnya agar diraikan bersama perayaan Deepavali oleh kaum India," ujarnya yang menjelaskan secara mendalam perayaan yang disambut seawal pukul 4 pagi.



MEMBACA doa menjadi satu kemestian yang diwarisi sejak turun-temurun.

--------------------------------------------------------------------------------

Menurut beliau, mereka akan bangun tidur sebelum matahari terbit dan bersiap-sedia mengenakan pakaian baru iaitu salwar kurtha untuk lelaki dan salwar kameez untuk perempuan.

Setiap seorang akan melakukan doa 'nitnam' atau doa peribadi sebelum menyertai doa berkumpulan bersama keluarga. Semasa masuk ke bilik sembahyang, kedua-dua wanita dan lelaki akan menutup rambut dengan sehelai selendang.

Anak bongsunya, Arwindarjit Kaur, 15, membacakan ayat-ayat suci dari kitab sambil diselia oleh Harwindar yang cukup terdidik dalam bidang keagamaan. Beliau merupakan bekas Presiden Organisasi Belia Sikh Malaysia dan kini merupakan ahli jawatankuasa keagamaan di Gurdwaras Malaysia.

Selepas itu, anak-anak saudara yang masih kecil akan memainkan alat muzik seperti harmonium dan tabla diiringi dengan lagu keagamaan yang dinyanyi oleh semua ahli keluarga.

"Satu perbezaan yang ketara dengan sambutan Deepavali ialah kami tidak mandi minyak bijan."

Selepas itu, mereka akan pergi ke Gurdwaras Sahib di Sentul untuk menjalankan ibadat sembahyang bersama komuniti Punjabi yang lain. Kebiasaannya pihak pengurusan akan menjemput tokoh agama yang bertauliah dari India untuk membacakan doa.

"Kami akan buat dua perkara iaitu Katha (mendengar) dan Kirtan (menyanyi) sehingga waktu makan petang yang terdiri daripada masakan tanpa daging," jelasnya yang pulang ke rumah bagi mengalu-alukan ketibaan tetamu.

Berbeza dengan negara India yang tidak mengamalkan tradisi kunjung-mengunjungi, masyarakat Punjabi di Malaysia menjemput kawan-kawan dari agama lain untuk menikmati juadah hidangan istimewa.

Daripada jalebi, patisah, gulab jamun, pakorah, balushiahi, barfih, muruku dan sudah tentu capati, sajiannya cukup mewah dan membangkitkan selera.

Isteri Harwindar, Jaswinder Kaur, 49, mahir membuat manisan dengan bantuan adiknya, Harmindar Kaur dan Gursharan Kaur.

Sementara itu, Alyssa Sylvanmani dan Low Chian Wen, masing-masing 15, tidak jemu mencuba setiap satu hidangan yang masih segar dan panas.

"Kunjungan ini meningkatkan kefahaman terhadap sambutan masyarakat Punjabi, selain mengukuhkan semangat kejiranan," katanya.

Suasana yang riuh rendah dengan kehadiran adik-beradik dan sanak-saudara, tidak mengejutkan si kecil, Karanjot Singh, 2, yang kelihatan mengantuk. Sepupunya, Akaaljot Singh, 7, cukup aktif dan nakal semasa menerima 'duit raya' daripada pak cik dan mak cik mereka.

Dalam pada itu, rakan baik Harwindar, Jagjit Singh, 53, kesal kerana ramai warga muda tidak mengetahui sejarah sambutan Diwali.

"Untuk mengukuhkannya semula, setiap tahun, kami mengadakan seminar atau kem belia untuk anak-anak muda Sikh mempelajari ilmu keagamaan, pendidikan, nilai keusahawanan, motivasi dan lain-lain," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...