Monday, October 27, 2008

‘Penyakit’ yang perlu dirawat

KUALA LUMPUR: “Ia bukan dilema, tetapi ‘penyakit’ yang perlu dirawat. Umpama seorang penagih dadah yang menghadapi masalah ketagihan dadah, dia juga memerlukan rawatan sebelum diberi nasihat dan kaunseling,” kata pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dilema dihadapi Razi, 46, yang terpaksa memilih antara isteri dan keluarga atau pasangan sejenisnya, Edi.

Menurutnya, lelaki yang mempunyai naluri songsang dan berkeinginan dengan pasangan sejenis adalah ‘penyakit jiwa’ kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan menyalahi hukum syarak agama.

Katanya, dalam Islam dinyatakan perbuatan yang melanggar tabii seperti menjalin hubungan homoseksual ditegah sama sekali dan ia memerlukan rawatan kerohanian mengikut cara Islam.


“Mereka perlu dirawat secara kerohanian dan bertaubat, sama ada berjumpa ulama atau individu yang arif mengenai soal agama. Tidak ada pilihan lain.

“Apabila mereka menyesali kesalahan melakukan perbuatan itu melalui proses rawatan sebegitu, baru sesuai individu terbabit diberi nasihat dan kaunseling, seterusnya kembali hidup normal seperti orang lain,” katanya.

Pendakwah bebas, Ahmad Shukri Yusoff, turut bersetuju individu yang menghadapi kecelaruan naluri memerlukan rawatan kerohanian bagi menerima hakikat dan kebenaran untuk kembali kepada fitrah manusia.

Katanya, ia bermula dengan taubat dan seterusnya berazam meninggalkan perbuatan songsang yang menyalahi landasan agama itu.

“Masalah begini timbul kerana tidak mengetahui kebenaran dalam Islam dan balasan yang bakal diterima oleh individu terbabit.

“Sebab itu ia memerlukan rawatan atau terapi supaya individu itu insaf dan menyedari kesalahan selama bergelumang dengan dosa. Kembali kepada Islam adalah jalan terbaik,” katanya yang turut menguruskan Fitrah Power Resources.

Mengenai dilema dialami Razi, beliau menegaskan, Razi sebenarnya tiada pilihan kecuali memilih jalan benar iaitu kembali ke pangkuan isteri dan keluarga.

Katanya, apa dilalui Razi sebenarnya adalah keseronokan dunia semata-mata, sebaliknya dia perlu memikirkan masa depan keluarga, terutama anak.

“Ia bukan lagi satu pilihan, jika menuju ke jalan maksiat dan mengakibatkan dosa, ia sepatutnya ditinggalkan.

“Dia (Razi) sepatutnya insaf dan memberi tumpuan kepada hidup keluarganya,” katanya.

Pun begitu, katanya, Razi juga perlukan bimbingan dan dorongan daripada isteri, anak dan keluarga jika menyedari masalah berkenaan.

“Tidak dinafikan, sukar bagi individu tertentu untuk berubah apabila menghadapi masalah naluri songsang.

“Jika isteri tahu, dia perlu turut sama membimbing suaminya. Jika masih tidak berubah dalam tempoh panjang, isteri boleh membuat pilihan sama ada ingin hidup bersama lagi, atau sebaliknya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081026092414/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...