Monday, October 27, 2008

Sheila Majid: Artis berhak diberi gelaran Datuk




Sabtu Oktober 25, 2008

Oleh WAHIDA ASRANI


PETALING JAYA: "Artis juga adalah golongan yang turut memberi sumbangan kepada tanahair dan tidak salah jika kami (artis) diberi pengiktirafan oleh pembesar dan kerajaan negeri seandainya mereka rasakan layak," - luah Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid mengenai gelaran Datuk yang dianugerahkan kepadanya sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Yang Ke-78, semalam.


Menganggap penganugerahan tersebut satu pencapaian besar sepanjang lebih 20 tahun dirinya menjadi anak seni, tutur Sheila, dia menganggap gelaran tersebut sebenarnya membuktikan golongan artis turut dihargai oleh pembesar negara, sama seperti individu daripada sektor-sektor lain.


"Kita perlu melihat perkara seperti ini dari aspek positif. Sejujurnya, saya berbesar hati kerana Sultan Pahang turut prihatin kepada golongan artis.


"Pengiktirafan ini membuatkan saya rasa pembabitan saya di dalam industri ini dihargai dan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk beri sumbangan yang lebih besar di dalam bidang hiburan," kata Sheila yang dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang sekaligus membawa kepada gelaran Datuk.


Ditanya tentang isu gelaran Datuk kepada golongan artis yang kurang disenangi oleh banyak pihak, terutamanya berhubung penganugerahan kepada artis luar yang baru-baru ini mencetuskan topik hangat apabila bintang Bollywood, Shah Rukh Khan menerima gelaran yang sama daripada kerajaan Melaka, Sheila bagaimanapun enggan menyentuh tentang perkara itu.


Namun begitu, kata penyanyi berusia 43 tahun ini, kerajaan negeri mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan berhubung apa-apa penganugerahan, tetapi tambahnya, biarlah individu tersebut dipilih dengan sebaik mungkin.


"Bagi saya, itu adalah hak mereka untuk beri kepada sesiapapun, cuma pada pandangan peribadi saya, biarlah diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.


"Ramai juga insan-insan seni kita terutamanya dalam industri perfileman yang saya lihat juga layak diberi pengiktirafan. Ada yang sudah berpuluh-puluh tahun berada di dalam industri.


"Tetapi, apapun, itu semua biarlah ditentukan oleh kerajaan sendiri," kata ibu kepada empat orang cahaya mata ini.


Ditanya pula adakah dirinya selesa dipanggil dengan gelaran Datuk selepas ini, dalam nada ceria duta Yayasan Institut Jantung Negara ini berkata:


"Ramai yang salah anggap tentang konsep gelaran ini. Bagi saya, jika seseorang itu dikurniakan dengan sesuatu gelaran seperti Datuk, Tan Sri atau sebagainya, kita perlu menghormati gelaran itu.


"Saya tidak akan memaksa orang panggil saya 'Datuk' setiap masa, mungkin untuk mana-mana majlis rasmi dan dalam keadaan tertentu, saya tidak menolak untuk dipanggildengan gelaran tersebut sebagai tanda penghormatan kepada Sultan yang telah menganugerahkannya kepada saya," kata Sheila yang bakal melancarkan produk penjagaan kulit, hasil ideanya sendiri tidak lama lagi.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/10/25/mstar_berita/20081025170727&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...