Monday, October 27, 2008

Razaleigh tetap tawar diri walaupun belum dapat pencalonan

Sabtu Oktober 25, 2008

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tetap dengan pendirian menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden Umno walaupun belum mendapat sebarang pencalonan selepas 68 daripada 191 bahagian mengadakan persidangan perwakilan setakat ini.


Beliau tetap percaya peluang untuknya bertanding masih cerah berikutan masih terdapat kira-kira dua pertiga atau 123 bahagian Umno di seluruh negara masih belum mengadakan mesyuarat.


"Saya telah nyatakan sejak awal lagi yang saya hanya menawarkan diri bertanding pada jawatan ini dan ini bukan satu pertandingan.


"Terpulang kepada perwakilan untuk memilih sesiapa sahaja yang layak tetapi saya minta perwakilan jangan takut untuk membuat keputusan untuk memilih kerana ini akan menentukan masa depan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini.


Setakat ini sebanyak 68 bahagian Umno telah selesai mengadakan persidangan dan kesemuanya telah mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti.


Untuk layak bertanding jawatan presiden parti memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/10/25/mstar_berita/20081025165110&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...