Monday, October 27, 2008

Boikot jika harga barang tak turun

KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap akan meneruskan kempen boikot besar-besaran sekiranya kerajaan gagal mengumumkan penurunan harga barangan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, kata putus itu sudah dipersetujui bersama dengan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Majlis Belia Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia.

"Dulu peniaga memberi alasan harga minyak naik untuk menaikkan harga barangan, tetapi bila harga minyak sudah turun, kenapa mereka buat tidak tahu dan masih mengekalkan harga barang pada kadar tinggi?'' katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Omar, pihak terbabit terutama persatuan peniaga perlu memberi penjelasan sewajarnya dan sama-sama bertanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya sudah bercakap dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, kalau boleh harga barang turunkan kembali ke paras normal, supaya pengguna dapat menyimpan untuk masa depan.

"Ini kerana, berikutan kenaikan harga minyak dan harga barang yang mendadak kebelakangan ini, ramai pengguna dan kakitangan awam terpaksa mengeluarkan simpanan mereka untuk menampung kos sara hidup yang tinggi," tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...