Wednesday, November 12, 2008

Ambil kira rebat, subsidi sebelum turun harga minyak

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuat pertimbangan dalam pelbagai aspek sebelum mengambil keputusan menurunkan harga runcit petrol di bawah paras RM1.92 seliter, iaitu harga sebelum bahan api itu dinaikkan sebanyak 78 sen pada Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata penurunan harga bahan api itu boleh dilakukan lagi sejajar penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Itu terpulang kepada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

“Tetapi, pelbagai pertimbangan harus diambil kira seperti berapa banyak subsidi sudah dikeluarkan setakat ini, termasuk perbelanjaan rebat minyak kepada pemilik kenderaan dan subsidi minyak kira-kira RM18 bilion,”
katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Etika Perniagaan 2008, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Shahrir mengulas mengenai trend terkini penurunan harga runcit petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini sekitar AS$S70 setong sejak beberapa bulan lalu.

Hingga kini kerajaan sudah menurunkan harga minyak empat kali, terbaru awal bulan ini sebanyak 15 sen seliter menjadikan harga petrol RON97 kini RM2.15 seliter, RON92 pula RM2.05 seliter, manakala diesel RM2.05 seliter.

Beliau berkata, ada kemungkinan harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada paras RM2 seliter jika berdasarkan kepada trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Macam saya selalu katakan, bulan Oktober harga purata minyak mentah dunia AS$70 setong dan dijangka pada November ini, harganya dibawah paras AS$70 setong.

“Tentunya kita akan lihat penurunan bagi harga runcit selaras penurunan harga purata minyak mentah di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah biarpun harga runcit bahan api ketika ini lebih rendah berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Pada majlis itu, Shahrir turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008, anjuran Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi kategori syarikat besar, tempat pertama dimenangi Bukit Kiara Properties, Kuala Lumpur, kedua National Semiconductor Sdn Bhd, Melaka dan ketiga Flextronics Technology (Shah Alam) Malaysia, Selangor.

Kategori syarikat sederhana dimenangi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), kedua, Segi Perkasa (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur dan ketiga, Supreme OEA Trading & Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Kategori syarikat kecil pula dimenangi Pusat Tuisyen Sri Wirajaya, Kuala Lumpur, kedua Plus 3 Consultants, Kuala Lumpur dan Koperasi Tadika Minden Bhd, Pulau Pinang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081112094841/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...