Wednesday, November 12, 2008

Sejuk, kelaparan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



HULU LANGAT: Teruja untuk menakluki Gunung Nuang tanpa membawa kelengkapan dan bekalan makanan mencukupi, sekumpulan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak hanya tersesat dalam hutan tebal selama lebih 13 jam, malah turut diancam kebuluran.

Dalam kejadian malam kelmarin, kumpulan pelajar berusia awal 20-an itu mendaki Gunung Nuang di sini, pertama kali tanpa mengetahui cabaran getir yang menanti mereka.

Sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata, semua penuntut lelaki itu yang memulakan pendakian jam 8 pagi dari kaki gunung itu, dipercayai bercadang menawan puncaknya sebelum keluar dari hutan terbabit pada waktu petang.


Namun, hujan lebat menyebabkan mereka terkandas sebelum gagal mencari jalan keluar.

Malah, cuaca sejuk selain keletihan mengakibatkan hampir semua pelajar terbabit tidak berdaya berjalan menuruni lereng gunung berkenaan.

Keadaan persekitaran yang semakin gelap juga menghantui mereka.

Enam daripada pelajar berkenaan mengambil keputusan berpecah sebelum keluar dari hutan terbabit bagi meminta bantuan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat di sini.

Susulan itu, pihak polis segera menghubungi JPAM Wilayah Persekutuan sekitar jam 7 malam bagi melakukan operasi mencari dan menyelamatkan baki mangsa yang terkandas itu.

Hasil aduan diterima, seramai 18 anggota dan tiga pegawai JPAM Wilayah Persekutuan diketuai Lt Muda Hafiz Ismail bersama tiga anggota Unit Komunikasi JPAM Wilayah Persekutuan, bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang semakin lemah.

“Anggota penyelamat JPAM terpaksa merentasi sungai dan memanjat cerun gunung sebelum menemui semua mangsa sekitar jam 10 malam.

“Sebaik ditemui, semua mangsa yang kelaparan terus menjamah roti yang kami bawa hingga habis. Malah, mereka turut meneguk air mineral kami. Ini jelas menunjukkan mereka teramat lapar dan dahaga,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM memberikan rawatan kepada beberapa mangsa yang keletihan sebelum dipapah menuruni gunung berkenaan.

“Cuaca gelap selain laluan pendakian yang curam menyebabkan semua mangsa hanya dapat dibawa keluar sekitar jam 11 malam. Mereka diberikan rawatan sekali lagi bagi memastikan benar-benar pulih.

“Beberapa anggota polis turut memberi ingatan dan nasihat kepada penuntut terbabit supaya terlebih dahulu mendaftar nama di balai polis paling hampir dengan gunung berkenaan sebelum memulakan pendakian,” katanya.


Menurutnya, prosedur itu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil sekiranya pendaki didapati sesat atau tidak turun pada waktu dijadualkan.

“Kes pelajar atau orang awam yang terkandas atau sesat di Gunung Nuang sudah kerap kali berlaku berpunca sikap pendaki sendiri yang mengambil mudah dan menyangka ia mudah ditawan.

“Mereka (pendaki) biasanya tidak membawa kelengkapan perkhemahan, pakaian bersesuaian, makanan mencukupi dan alat pendakian menyebabkan masalah itu sering terjadi hampir saban bulan,” katanya.



http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20081112085550/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...