Wednesday, November 12, 2008

Sekolah khas untuk mak nyah



MARYANI berdoa di sekolah khas untuk golongan mak nyah di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------



SEORANG mak nyah menunggu pelanggannya di sebuah stesen kereta api di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------

YOGYAKARTA - Rumah seorang mak nyah, Maryani menjadi sekolah pendidikan Islam untuk golongan transeksual pertama di Yogyakarta, Indonesia.

Sekolah itu diberi nama Senin-Kamis dan dalam tempoh dua kali seminggu, kira-kira 20 mak nyah yang memakai seluar jeans ketat dan skirt mengunjunginya.

Mereka mengunjunginya untuk belajar membaca al-Quran dan memahami dengan lebih mendalam mengenai agama Islam.

Di negara itu, golongan mak nyah dikenali dengan gelaran waria.

"Waria (mak nyah) adalah juga manusia, kami mahu menjadi orang yang beriman.

"Kami turut mempunyai satu hak untuk pergi ke syurga dan kami mempunyai hak untuk pergi ke neraka.

"Kami perlu mengingati Tuhan kerana kami sudah diberikan kehidupan," kata Maryani.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan takdir ini dan saya menjalani hidup seperti ini," jelasnya.


Maryani yang berumur 48 tahun dilahirkan sebagai seorang lelaki dan dibesarkan sebagai penganut agama Kristian Katholik.

Dia menghabiskan masa bertahun-tahun meminum minuman keras dan menawarkan perkhidmatan seks di jalanan sebelum menganut Islam dan kini mempunyai seorang anak angkat perempuan, Rizky Aryani berumur lapan tahun.
Menurut Maryani, kini adalah menjadi tugasnya untuk membawa Islam kepada rakan-rakan mak nyahnya.

Waria di Indonesia juga membawa maksud lelaki yang memilih untuk hidup sebagai wanita.

Sebahagian mereka menjalani pembedahan atau mengambil hormon untuk meningkatkan penampilan kewanitaan termasuk menanam implan bagi memiliki payu dara.


MARYANI melayani kerenah anak angkatnya di rumahnya yang menjadi sekolah khas untuk golongan mak nyah di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------

Bagaimanapun, mereka tidak melakukan operasi pembedahan untuk menukar jantina.

Setakat ini dianggarkan terdapat 300 mak nyah dalam komuniti di Yogyakarta.

Golongan mak nyah menjual tubuh sebagai salah satu daripada punca pendapatan.

Mereka mencari pelanggan pada waktu malam di jalanan dan di landasan kereta api.

Namun, sekolah Senin-Kamis yang ditubuhkan pada Julai lalu mempunyai polisi untuk tidak memberi khutbah dan mengelak desakan kepada mak nyah supaya menjadi lelaki sejati atau wanita.

Maryani turut menyatakan dia gembira dengan kehidupannya sekarang dan tidak merancang untuk menjalani pembedahan menukar jantina.

"Saya tidak mahu menjalani pembedahan kerana saya bersyukur kepada Tuhan berhubung apa yang diberikan kepada saya.

"Jika saya telah menjalani pembedahan, saya sebenarnya melanggar kehendak Tuhan," katanya.


Guru-guru di sekolah itu adalah terdiri daripada 25 ustaz dari sebuah sekolah agama yang dikendalikan oleh Hamrolie Harun dan terletak berdekatan rumah Maryani.

Seorang guru, Heri Suchaeri yang sudah berkahwin dan mempunyai anak berkata, pada mulanya dia mengajar di sekolah Senin-Khamis dengan diselubungi dengan perasaan bimbang.

"Tetapi, apabila kami pergi kesana dan kami mengikuti kehidupan mereka, mereka turut mempunyai perasaan, mahu bersolat dan mempunyai Tuhan," katanya.

"Sasaran kami adalah dengan tidak menyatakan anda perlu menjadi seorang lelaki, kami tidak mempunyai hak untuk menyatakan sedemikian," jelas Heri.

Bagi pelajar-pelajar di sekolah itu, terdapat perasaan bersalah dan tentangan dalam sebuah masyarakat.

"Jika anda bertanya kepada saya bahawa keluar pada waktu malan adalah tidak baik, tetapi itu merupakan satu-satu caranya untuk kami memperoleh pendapatan untuk keperluan seharian," kata seorang mak nyah, Tika Aurora.

Dia yang berumur 26 tahun menyatakan demikian berhubung bayaran sebanyak AS$1.86 (RM6.67) bagi mendapatkan khidmat seksnya.

"Prinsip saya adalah jika saya menjalani kehidupan seperti ini pada masa depan,apabila tua, saya masih seperti ini," katanya.

"Kami turut mempunyai harapan seperti wanita lain. Kami berharap untuk hidup dengan seseorang bersama saya, berharap mendapatkan anak lelaki. Hidup seperti manusia biasa," kata Tika.

Bagi pelajar-pelajar itu, sekolah itu memberikan mereka peluang untuk mengikuti ajaran Islam.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...