Wednesday, November 12, 2008

Maut ditikam amah


Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my



DI SITU...beberapa jiran menunjukkan rumah warga emas
yang dipercayai ditikam pembantu rumahnya.



KUANTAN: Seorang wanita warga emas sempat berjalan terhoyong-hayang dalam keadaan kesakitan sebelum rebah dan meninggal dunia di depan rumahnya di Taman Perumahan Karang Maju di sini, dipercayai ditikam pembantu rumah yang baru empat hari bekerja, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Miyati Bakri, 69, dikatakan ditikam di dada oleh pembantu rumah berusia 16 tahun itu.

Ketika kejadian, mereka tinggal berdua di rumah berkenaan berikutan anak dan menantu mangsa bekerja.

Gadis itu melarikan diri dengan meninggalkan Miyati yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Bagaimanapun, mangsa tetap menggagahkan diri bangun dan berjalan keluar bagi meminta bantuan jiran sebelum rebah dan meninggal dunia di depan rumah.

Seorang jiran yang enggan dikenali, berkata dia berada di luar rumah apabila ternampak mangsa berjalan sambil menunduk dan memegang dada yang berlumuran darah sebelum terjatuh.

Saya bersama beberapa jiran lain cuba mendapatkan mangsa yang ketika itu masih bernafas. Kami terkejut melihat dadanya yang berdarah sebelum membantu mengangkatnya masuk ke dalam rumah.

“Bagaimanapun, mangsa sudah meninggal dunia sebelum kami sempat menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, ada kemungkinan mangsa ditikam pembantu rumahnya yang baru bekerja berikutan dia dilihat beberapa kanak-kanak yang bermain berlari keluar dari rumah berkenaan.

“Mangsa tinggal bersama anak dan menantunya sejak lebih dua tahun lalu manakala pembantu rumah itu baru diambil bekerja bagi menjaga mangsa yang sering sakit,” katanya.

Sementara itu, seorang anak mangsa yang ditemui di tempat kejadian, berkata dia sama sekali tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana perwatakan pembantu rumah itu begitu baik.

“Kami sendiri menjemput dia yang berasal dari Kalimantan, Indonesia, dari rumah keluarga angkatnya di Klang Gate, Hulu Klang, Selangor.

“Malah, saya turut membawanya ke rumah saya di Temerloh dan menerangkan mengenai tugas yang perlu dilakukannya,” katanya.


Menurutnya, mereka menggunakan khidmat pembantu rumah itu untuk menemani mangsa yang uzur.

Tetapi selepas berada di rumah itu, gadis Indonesia terbabit mengadu tidak selesa dan mahu pulang ke rumah keluarga angkatnya.

“Kami memintanya bersabar dan berjanji menghantarnya pulang hujung minggu ini tapi tidak sangka pula dia sanggup melakukan perbuatan sekejam itu terhadap wanita yang uzur,” katanya.

Mengulas kes terbabit, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek ditahan di Perumahan Damansara, tidak jauh dari tempat kejadian, selepas melarikan diri dari rumah mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081112094913/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...