Wednesday, November 5, 2008

Bongkar rahsia 5 abang durjana

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my



KAJANG: Selepas 10 tahun menyimpan rahsia, seorang wanita akhirnya membuat laporan polis mendakwa dirogol lima abang kandungnya sejak berusia 13 hingga 18 tahun.

Sebelum membuat laporan polis, mangsa yang kini berusia 23 tahun mengalami tekanan perasaan, malah enggan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sepanjang tempoh berkenaan.

Ini kerana dia tidak sanggup melihat semua abang kandungnya itu meringkuk dalam penjara.

Wanita malang itu juga menganggap dia terhutang budi dengan kebaikan semua abangnya yang sanggup menjaganya ketika berada di hospital akibat sakit jantung.

Bagaimanapun, sumber berkata, selepas tidak tertahan menanggung penderitaan yang sering menghantui dirinya, mangsa akhirnya nekad melaporkan kejadian sumbang mahram itu, baru-baru ini.


Katanya, mangsa difahamkan menjadikan seorang kakak angkat sebagai tempat dia meluahkan perasaan ditanggungnya.

Ibu mangsa yang dimaklumkan kejadian itu baru-baru ini terkejut dengan pengakuan berkenaan, tetapi langsung tidak mempercayai kata-katanya.

Namun, selepas mendengar keluhan anak perempuannya itu, si ibu terpaksa akur dan menemaninya membuat laporan di Balai Polis Kajang.

Mangsa kerap dijadikan pemuas nafsu lima abangnya setiap kali ibu bapa mereka pulang ke kampung di pantai timur.

“Ketika itulah mangsa mendakwa dia diperlakukan dengan kejam apabila semua abangnya mengambil kesempatan merogolnya.

“Mangsa kini masih dalam keadaan trauma setiap kali teringatkan kisah hitam itu,” katanya, semalam.

Dalam laporannya kepada polis, wanita terbabit turut mengakui mempunyai sejarah hitam sebelum itu apabila dia mendakwa dirogol seawal usia sembilan tahun oleh bapa saudaranya.

Ketika kejadian, dia diheret menuruni tangga dari tingkat dua oleh bapa saudaranya itu.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku tiga hari sebelum menjelang perkahwinan lelaki terbabit.

Sumber polis memberitahu, polis sudah menahan semua suspek yang berusia 25 hingga 28 tahun termasuk pasangan kembar bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Lelaki yang juga bapa saudara mangsa juga akan ditahan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit yang mendakwa dia dirogol lima abang kandungnya sendiri.

“Semua suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081105095227/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...