Wednesday, November 5, 2008

‘Cinta saya masih belum berubah’

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my



BUKTI...Nor Radhiah menunjukkan sijil perkahwinannya dengan
Aziz yang diterima daripada Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Terengganu, semalam.



KUALA TERENGGANU: Meskipun perkahwinannya selama tiga bulan dengan pengarah filem terkenal, Aziz M Osman berdepan kontroversi gara-gara kenyataan ibu Aziz, Afida Es, namun ustazah muda, Nor Radhiah Ramli, 22, mengakui masih menyayangi dan menyintai suaminya itu.

“Walaupun pelbagai perselisihan faham timbul dan hubungan antara saya dengan Aziz agak tegang, namun perasaan sayang dan cinta pada suami masih belum berubah.

“Malah. saya menganggap masalah itu sebagai cabaran dalam mengharungi kehidupan sebagai suami isteri.

“Sebagai seorang isteri, wajib bagi saya menjaga maruah suami daripada tercemar, malah segala kenyataan dikeluarkan dalam akhbar semalam (kelmarin), cuma mahu menjernihkan keadaan selain ingin menjelaskan keadaan sebenar,” katanya, semalam.


Menurutnya, tiada wanita yang mahukan rumah tangga yang dibina dengan insan tersayang runtuh dan punah begitu saja, malah setiap isteri yang menyayangi suami pasti akan mempertahankannya.


“Saya sedar tiada apa yang istimewa dengan diri ini, namun kasih sayang saya kepada suami mengatasi segala-galanya dan sanggup melakukan apa saja bagi mempertahankan bahtera perkahwinan yang baru dibina tiga bulan lalu.

“Saya mengakui syurga isteri di bawah kaki suami. Jadi, saya sentiasa menanti kepulangan suami dan bersedia memperbaiki segala kelemahan diri.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu sudah mengeluarkan sijil perkahwinan antara saya dan suami (Aziz M Osman) dan dengan adanya sijil perkahwinan itu, sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga memulihkan perselisihan faham berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Radhiah berkata, sehingga kini, Aziz masih lagi berdiam diri mengenai masalah berkenaan, cuma ada membalas SMS dihantarnya semalam.

“Saya sudah meminta dia berunding dengan kami sekeluarga secara baik dan dia menyambut cadangan saya itu dengan menjawab ‘Insya-Allah.’

“Hanya melalui perbincangan dengan kedua-dua pihak, masalah itu boleh diselesaikan kerana jika rumah tangga itu masih boleh diselamatkan, saya bersyukur, tetapi jika sebaliknya saya menerimanya dengan hati terbuka walaupun kasih dan hati ini masih terukir nama suami,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka rumah tangga yang baru dibinanya itu berdepan masalah memandangkan sebelum ini, dia dan Aziz tidak menghadapi sebarang masalah.

“Fikiran saya begitu kusut dan masih tertanya-tanya tindakan Aziz dan keluarganya selepas mengetahui kisah sebenar itu sedangkan sebelum ini Aziz setia memberi sokongan dan dorongan kepada saya selepas perkahwinan saya dan suami terdahulu tidak sah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081104095049/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...