Wednesday, November 5, 2008

Saya sudah buntu - Abby

TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
ent_editor@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------

SEMALAM, hampir semua akhbar utama memainkan isu yang sama. Isu Abby 'serang' suaminya, Norman Hakim di lokasi penggambaran drama Gerak Khas. Tindakan ini diambil oleh pelakon popular itu setelah dia tidak mempunyai jalan lain untuk bertemu dengan suaminya itu yang dikatakan sekian lama tidak pulang ke rumah.

Kosmo! bersama media lain sempat menemubual Abby mengenai hati dan perasaannya kala dilanda masalah 'besar' seperti ini.

Ikuti transkrip penuh temubual Abby bersama media, di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Keramat, pukul 11.30 pagi, kelmarin.

Apa yang membuatkan Abby hadir ke sini?

Abby: Hari ini saya memang berniat untuk cerai. Ikutkan hati, saya nak cerai fasakh tetapi prosedurnya akan mengambil masa yang lama mengikut nasihat yang diberi oleh mahkamah. Mereka meminta saya agar cuba cerai cara baik supaya tidak aibkan mana-mana pihak. Cuma hari ini saya gagal untuk failkan penceraian sebab banyak maklumat yang saya tidak tahu. Jadi saya tak dapat mengisi borang. Contohnya, alamat dia. Saya memang tak tahu alamat apa yang patut saya tulis untuk sampaikan surat ini kepadanya.

Abby bagi tahu Norman untuk buat permohonan cerai ini?

Saya ada mesej dia mengenai penceraian ini dan dia kata... (terdiam sejenak). Dia kata teruskanlah. Saya sudah buntu sebab memang tak nampak ruang untuk saya dan dia lagi. Walau dengan apa cara sekalipun, saya mesti cuba juga untuk memfailkan penceraian ini. Bergantung pada keadaan. Setakat ini, saya belum ada peguam. Saya pun tak tahu bagaimana prosedur untuk tuntut cerai. Ingatkan senang, tapi sebenarnya, susah. Mengikut SMS, dia tak mahu jumpa saya langsung tapi saya masih perlu berjumpa dengannya untuk mendapat maklumat yang saya tak tahu.

Abby hadir seorang diri saja?

Saya seorang di sini sebab saya tak mahu susahkan keluarga. Saya tak hendak susahkan sesiapa. Sebelum ini pun saya sudah banyak susahkan keluarga dengan macam-macam hal, kali ini biar saya buat sendiri. Sebelum ini, pernah terdetik untuk bercerai kerana terlalu banyak perkara yang saya nampak kami dah tak dapat bersama. Lebih-lebih lagi keadaan kami makin teruk.

Adakah Abby tuntut cerai kerana kes Norman ditangkap atas tuduhan khalwat?

Keadaan memang semakin teruk. Itu hanya salah satu sebab sebenarnya. Kes itu membuatkan saya rasa memang sudah tidak ada jalan untuk rumah tangga kami diselamatkan lagi. (Menangis)

Anak-anak bagaimana? Mereka tahu tentang masalah ini?

Anak-anak saya terlalu kecil untuk fahami semua ini. Saya tak dapat nak cerita kepada mereka.

Bila kali terakhir Abby bertemu dengan Norman?

Lepas kejadian itu (tangkapan khalwat), dia ajak saya jumpa untuk beri dia kekuatan. Dia memang ada cakap dengan saya, dia rasa bersalah sebab abaikan saya dan anak-anak (menangis lagi). Tapi, masa itu, ada satu kenyataan dia yang buat saya rasa tak dihargai langsung. (Menangis teresak-esak). Dia memang ada sakitkan hati saya sekali lagi masa itu. Tak tahulah kalau dia tersilap kata atau apa.

Adakah dia cakap pasal perkahwinan dengan Memey?

Tak ada, dia tak cakap pula yang dia mahu berkahwin dengan Memey. Tak apalah! Saya pun tak mahu cakap mengenai mereka kerana mereka pun tiada erti bagi saya. Saya pun tak tahu sama ada dia menganggap perkara ini tidak serius, tetapi ia serius bagi saya.

Apa yang Norman cakap?

Masa dalam kereta dia beritahu saya 'tolong selamatkan dia dan perempuan itu'. Bila dia dah cakap macam itu, saya tak boleh terima. Kalau dia mahu minta tolong hanya untuk dia sahaja, saya faham kerana dia adalah suami saya. Tetapi kenapa perlu saya kena tolong perempuan tu juga? Nampak sangat ada sesuatu.

Keluarga Norman macam mana?

Keluarganya memang di sebelah dia.

Tetapi sebenarnya saya sendiri tak faham banyak benda. Daripada apa yang saya baca di internet, saya pun tak faham situasi pada waktu itu (tangkapan khalwat). Ada yang kata kunci itu diberi oleh seseorang, ahli keluarga dia kepada JAIS. Rasa macam tak masuk akal. Cukuplah. Selama ini saya memang tidak dipedulikan. Banyak perkara yang saya tak tahu dan tak nampak. Bila saya dapat tahu mengenai penangkapan itu dan dia masih memuji-muji perempuan itu, saya rasa macam, cukuplah.

Ada hubungi Memey?

Ada. Dia (Memey) angkat telefon. Saya katalah, 'Berani ya awak angkat telefon. Dia boleh cakap dengan saya 'Habis nak buat macam mana? Benda nak terjadi,'. Apa semua tu? Kalau saya berada dalam keadaan dia, saya malu. Tapi dia ni lain. Dalam internet, dia ada mengatakan yang mahu berjumpa dengan saya. Mana ada? Sampai sekarang tak jumpa pun. Saya tak ada masalah untuk berjumpa dengannya.

Abby sedia untuk bermadu?

Saya memang simpan niat untuk berpisah. Kalau mereka hendak kahwin, dia bukan madu sayalah. Kalau betul dia hendak kahwin, tak apa. Mungkin dia boleh bina rumah tangga yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang (menangis lagi).

Apakah sudah tidak ada sekelumit rasa sayang?

Rasa sayang tu masih ada. Ada! Tapi saya takut, saya takut sayang saya itu dipersia-siakan lagi.

Abby kemudian bersama wartawan dan jurugambar yang menemubualnya bergegas ke lokasi penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju untuk bertemu dengan Norman bagi mengisi borang permohonan perceraian mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...