Wednesday, November 5, 2008
Kilang tauhu jijik kena serbu
KLANG: Jijik, kotor, meloyakan selain tidak berlesen menyebabkan sebuah kilang menghasilkan tauhu di Jalan Kapar di sini, untuk pasaran sekitar Selangor beroperasi dari jam 7 malam hingga 7 pagi untuk mengelak diserbu pihak berkuasa.
Masa beroperasi itu dirangka sedemikian rupa kerana pemilik kilang terbabit tahu mereka menjalankan perniagaan secara haram bagi memenuhi permintaan pasaran besar membabitkan pasar borong selain pasar mini.
Bagaimanapun, cubaan untuk menyembunyikan status kilang terbabit gagal apabila sepasukan anggota serta pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu premis itu, petang semalam.
Pemerhatian mendapati keadaan persekitarannya bukan saja menjijikkan, malah bau terhasil daripada bahan buangan proses membuat tauhu itu menjadikan kawasan sekitar kilang terbabit seolah-olah tidak sepatutnya dihuni.
Tauhu dihasilkan pula diletakkan di dalam baldi, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia boleh dimakan atau sebaliknya jika dikaitkan dengan kebersihan kilang terbabit.
Pengarah Pelesenan dan Penjaja MPK, Azhar Samsuddin, berkata pada mulanya pihak MPK dan JAS datang untuk memeriksa tahap kebersihan kilang tersebut dan terkejut mendapati ia beroperasi tanpa lesen sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Sistem longkang yang tidak sempurna menyebabkan sisa buangan bertakung dan berkeladak.
“Ia bukan saja mengotorkan kawasan kilang terbabit, malah kilang lain yang beroperasi di sana juga tidak puas hati dengan keadaan berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Menurut beliau, pemilik ketika ditanya berkaitan lesen cuma memberi alasan tidak tahu untuk memohon.
Bagaimanapun, alasan terbabit tidak dapat diterima penguat kuasa dan pemilik kilang dikenakan kompaun RM500 serta bakal ditutup jika gagal mengikuti arahan dikeluarkan untuk beroperasi.
“Kami mendapat maklumat awam berkaitan keadaan kilang terbabit dan selepas pemeriksaan, pemilik diberikan masa tiga bulan untuk membersihkan kawasan persekitaran premis.
“Jika dalam tempoh berkenaan mereka gagal melakukannya, kilang terbabit boleh ditutup,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081105092046/Article/index_html
***kena kompaun RM500 sahaja??? Rasa macam tak berbaloi bila difikirkan berapa ramai orang dah termakan tauhu kotor mereka tu..
No comments:
Post a Comment