Thursday, January 29, 2009

Azlin pilih waran tangkap atas suami, mahkamah tidak benarkan


Rabu Januari 28, 2009

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



Wan Nor Azlin ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bersama peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan selepas sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap suami, Mohd. Yazli Yaacob. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


PETALING JAYA:Hanya ada dua pilihan - samada meneruskan perbicaraan ataupun mengeluarkan waran tangkap? Aktres Wan Nor Azlin, 41, memilih supaya waran tangkap terhadap suaminya dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.


Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk tidak membenarkan Azlin berbuat demikian disebabkan kegagalan mengecam alamat suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 39 berada sekarang.


Ketika sebutan kedua kes tersebut berjalan hari ini, Ghazali turut bersoal jawab dengan Azlin sehingga akhirnya mereka menemui kata sepakat untuk meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah Azlin dan anak-anak terhadap suaminya pada 8 April depan, pukul 2 petang.


Azlin akur dengan keputusan tersebut walaupun pada mulanya beliau nekad mahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Azlin: Saya yakin dia (Yazli) bersama PPIM. Jadi, mahkamah boleh sampaikan waran itu melalui Dr. Zaidi.


Hakim: Nak alamatkan ke mana? Waran tangkap perlu kepada dia sebab nak tangkap dia.


Azlin: Tetapi dia tak nak hadir.


Hakim: Lagi cepat jika bicara melalui sebelah pihak tetapi peluang tetap diberikan kepada dia. Bila-bila masa dia boleh hadir. Terpulang kepada dia nak hadir atau tidak, mahkamah akan putuskan sebelah pihak.


Dalam pada itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Azlin, iklan yang memerintahkan Yazli menghadiri perbicaraan tersebut pada hari ini telah dikeluarkan pada 21 Januari lalu di mana iklan ditampal di papan notis dalam mahkamah dan dipaparkan di dalam ruangan iklan akhbar Utusan Malaysia.


Namun, Yazli masih gagal menampakkan diri untuk muncul di dalam perbicaraan ini.


"Kita perlu sentiasa mengikuti kes ini dan menunggu tindakan selanjutnya. Di akhir kes ini nanti, mahkamah akan mencapai kata putus di mana jika Yazli masih enggan menghadirkan diri, dia akan dimasukkan ke dalam penjara dan dia juga perlu melunaskan nafkah mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah," jelas Fakhrul dengan panjang lebar mengenai perbicaraan kes tersebut.


Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya beliau ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.


Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.


Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.


Difahamkan, Azlin menuntut lebih daripada puluhan ribu kepada Yazli. Namun, Azlin bagaimanapun bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.


Sehingga kini Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu. Pertama kal Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.


Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.


Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.


Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_hiburan/20090128181123&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...