Thursday, January 29, 2009
Tak hulur kebulur
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
KUALA SELANGOR: “Siapa yang cepat hulur (komisen), cepatlah kelulusannya. Siapa yang tak hulur kebulur jawabnya tak dapat (permohonan tidak diluluskan),” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar mendedahkan ada pegawai di agensi kementeriannya yang menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan pinjaman.
Mendedahkan perkara itu, Noh berkata, pegawai itu didakwa meminta habuan tertentu sebagai balasan untuk mempercepat atau meluluskan pinjaman dan kegagalan berbuat demikian, permohonan itu tidak diluluskan.
“Walaupun perkara ini belum sahih kerana tiada pengadu tampil memberi bukti dan keterangan, tetapi dakwaan ini mungkin benar kerana pengadu atau pemohon enggan memberi kerjasama.
“Ini hanya tuduhan tetapi mungkin juga ada kebenaran. Jadi pengadu kenalah beri bukti supaya tindakan dapat diambil. Jika takut membuat aduan, pengadu boleh memberi nama pegawai atau pejabat mana yang terbabit atau mengadu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh melindungi pengadu,” katanya, di sini, semalam.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Tanjung Karang di sini, semalam.
Noh meminta pemohon bermasalah mengadu terus kepada kementeriannya menerusi kaedah bersemuka yang diwujudkan selepas beliau dilantik menteri penuh di kementerian itu.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi amaran tidak teragak-agak menggantung permit syarikat bas ekspres yang melanggar peraturan dengan menaikkan tambang bas sesuka hati sempena cuti Tahun Baru Cina.
“Ada syarikat bas di Hentian Putra dilaporkan menaikkan tambang bas beberapa kali ganda untuk perjalanan dari ibu kota ke pantai timur.
“Saya sudah arahkan pegawai menyiasat dakwaan ini. Jika benar, mana-mana syarikat terbabit akan digantung permit,” katanya.
Ditanya mengenai nasib pekerja yang diberhentikan majikan berikutan kegawatan ekonomi sekarang, Noh berkata kementeriannya menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada pekerja yang diberhentikan kerana kegawatan ekonomi.
“Kita syorkan mereka datang secara berkumpulan supaya mudah untuk beri kursus percuma mengikut kehendak mereka yang disesuaikan dengan kehendak pasaran kerja,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085251/Article/index_html
No comments:
Post a Comment