Jan 28, 09 4:45pm
Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta jabatan tersebut September lalu tidak lama selepas berucap dalam satu kempen politik ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.
Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja".
Tindakan itu dipercayai dengan sebab Ramlang dianggap telah "mencemarkan nama perkhidmatan awam" setelah naik pentas politik dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.
Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.
Ramlang dihadapkan dengan empat pertuduhan - tiga daripadanya kerana berucap di tiga tempat berasingan di kawasan parlimen tersebut pada hari berkenaan.
Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, pertuduhan keempat - mengadakan sidang media pada tengah hari 25 Ogos - bagaimanapun tidak benar.
Ramlang mengadakan sidang media bersama Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali (foto atas) dan beberapa pemimpin pembangkang sejurus selepas tengah malam hari yang sama di pusat khidmat parti itu di Penanti.
Peguam itu menambah, tanpa memberikan sebarang alasan jelas, surat Jakim itu menyatakan "keterangan-keterangan sedia ada telah mencukupi" untuk memecat Ramlang.
Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat pegawai Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto, kanan) di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.
Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat (foto bawah, kanan) - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.
Menurut Wan Mohamad lagi, yang bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas.
Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti menurut Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.
Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.
http://www1.malaysiakini.com/news/97206
No comments:
Post a Comment