Thursday, January 29, 2009

Jet Israel bedil terowong


SEORANG anggota Hamas memeriksa sebuah terowong yang musnah akibat serangan tentera Israel dekat sempadan Gaza-Mesir semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BAITUL MAGDIS – Jet-jet tentera Israel mengebom terowong di sempadan Gaza-Mesir awal pagi semalam selepas satu letupan bom menyebabkan seorang askar rejim Zionis maut.

Tentera Israel berikrar akan melakukan serangan balas berikutan kematian askar Yahudi itu.

Kawasan di sempadan itu kembali menjadi bedilan jet-jet Israel sepuluh hari selepas gencatan senjata tidak formal berlaku antara Hamas dengan rejim Zionis.

Serangan itu turut berlaku beberapa jam sebelum utusan khas Timur Tengah yang baru dilantik Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Israel.

Askar Yahudi itu terbunuh pada Selasa lalu di sempadan Israel dengan Genting Gaza akibat letupan bom kawalan jauh yang ditanam dalam pasir.

Tiga lagi askar Yahudi yang melakukan rondaan turut cedera dalam kejadian tersebut.

Tentera Israel melancarkan tindak balas dengan segera berikutan kejadian itu.


Beberapa kereta kebal dan jentolak milik tentera Israel dikerah ke utara Gaza dan satu serangan udara dilancarkan.

Menurut satu kenyatan tentera Israel, seorang pejuang Hamas cedera dalam serangan itu.

Pergerakan Hamas menyatakan serangan udara Israel itu menyebabkan seorang anggota cedera ketika dia sedang menunggang motosikal di bandar Khan Younis.

Kejadian di sempadan itu merupakan yang terburuk sejak kedua-dua pihak mengisytiharkan gencatan senjata pada 18 Januari lalu. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...