Friday, April 3, 2009

Dedah tabiat buruk bapa

Oleh Shahrul Nizam Mohamad



KUANTAN: Akibat tidak dapat menahan perasaan jijik selepas mengetahui bapanya menyimpan 85 keping cakera padat video (VCD) lucah, seorang remaja perempuan nekad membuat aduan polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, remaja berusia 15 tahun yang masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini, terkejut apabila mengetahui tabiat buruk bapanya menyimpan VCD lucah dalam kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai mengambil kesempatan menonton ketika ibu remaja itu tiada di rumah.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang menerima aduan remaja terbabit mengepung rumah pengawal keselamatan itu sebelum menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui 85 keping VCD lucah pelbagai tajuk yang disembunyikan di tempat duduk belakang kereta suspek.

Lelaki terbabit juga gagal memberi penjelasan ketika ditanya mengenai penemuan VCD lucah berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti dalang sebenar yang terbabit kegiatan pengedaran VCD lucah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090402093324/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...