Bagaimanakah Najib sebagai suami dan bapa dari kaca mata isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
TAKDIR menentukan perjalanan politik Datuk Seri Najib Tun Razak sampai ke kemuncak apabila beliau secara rasminya dilantik sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia Keenam.
Namun, karier politik beliau juga bersulam onak duri dan ranjau penuh liku.
Fitnah, kontroversi dan gosip sudah menjadi asam garam, yang dicetuskan oleh musuh-musuh politik. Sebagai individu yang paling dekat dengan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, 57, pastinya memahami pahit getir yang dilalui oleh lelaki yang dikahwininya sejak lebih dua dekad lalu.
Malah, dengan menjadi isteri kepada Najib, Rosmah juga tidak dapat lari daripada terkena tempiasnya.
Namun, segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sedikit pun tidak menjadi kudis sama ada kepada Najib, Rosmah mahupun keluarganya.
Sebaliknya, Rosmah membuktikan bahawa beliau seorang yang kental, sabar, tenang dan matang ketika berdepan dengan dugaan tersebut. Beliau pernah berkata: "Saya tidak mahu menangani isu-isu yang tidak perlu. Saya ada perkara lebih penting untuk diuruskan demi rakyat dan negara ini."
Rosmah ketika ditemui media di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini cukup tenang menjawab setiap persoalan yang dilontarkan.
Bahkan, pemegang ijazah Sarjana Sains Sosiologi dan Pertanian, Lousiana State University, Amerika Syarikat (AS) itu menganggap segala fitnah dan tohmahan yang dilalui adalah sebahagian daripada risiko dan lumrah dunia politik.
"Ramai yang mengidam untuk menjadi orang nombor satu negara dan jawatan tersebut hanya ada satu. Jadi ada yang memilih jalan yang betul dan sebahagian yang lain sanggup melakukan apa saja untuk menjatuhkan orang lain," kata wanita kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.
Rosmah dalam persalinan kurung moden merah jambu mengakui segala ujian dan dugaan yang melanda ada hikmah di sebaliknya. Dugaan itu menjadikan hubungan mereka suami isteri lebih matang, rapat dan kuat. "Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah dalam kehidupan," ujarnya.
Lebih mengagumkan, dalam berhadapan dengan cabaran dunia politik, Rosmah menyifatkan suaminya seorang yang sangat positif dan fokus. Najib pada pandangannya seorang yang bijak mengendalikan tekanan. "Itulah kelebihan Datuk Seri, dia tahu membezakan antara masalah kerja dan keluarga. Malah, dia tidak pernah mencampuradukkannya."
Menceritakan karakter suaminya, Rosmah berkata, Najib seorang individu yang penyabar, berdiplomasi, tidak membuat keputusan terburu-buru dan sangat tenang.
Tidak susah untuk tahu jika Najib marah. "Dia tidak akan cakap banyak, tidak membebel itu dan ini, cukup dengan hanya bertanya 'Adakah anda perlu lakukan itu?' Itu sudah memadai," jelas Rosmah tentang sikap suaminya.
Beliau yang mendapat ijazah pertama dari Universiti Malaya (UM) berkata: "Hubungan kami sangat sihat. Sebagai isteri, saya sentiasa menyokong suami walau sibuk macam mana sekali pun. Kami juga saling menasihati dalam banyak perkara."
Sebagai orang nombor satu negara, kesibukan tugas pasti membataskan Najib untuk meluangkan masa dengan keluarga.
Bagi memberi peluang kepada Najib untuk menumpukan hal-hal negara, Rosmah lebih banyak menggalas urusan anak-anak dan keluarga berbanding suaminya.
Bagaimanakah lelaki yang bernama Najib Tun Razak sebagai suami dari kaca mata Rosmah?
"Beliau seorang yang sangat bertanggungjawab, sentiasa mengambil berat kesejahteraan dan kebajikan kami, dan sedaya upaya cuba luangkan masa untuk keluarga," ujar Rosmah sambil menceritakan Najib seorang lelaki yang romantis dan penyayang.
Hasil perkahwinan Rosmah dan Najib, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nooryana Najwa, 20, dan Norashman Razak, 18.
Kekangan masa dan tugas besar yang digalas Najib menyebabkan beliau juga tiada banyak masa untuk isterinya. Hanya telefon yang menjadi penghubung. Namun, sebagai isteri, Rosmah cukup memahami dan akur dengan situasi tersebut.
"Beliau akan menghubungi saya pada waktu senggang walaupun beliau sibuk berkejar dari satu tempat ke tempat yang lain. Lazimnya, Datuk Seri akan bertanyakan jadual saya pada hari tersebut, perkembangan saya dan perkara-perkara yang beliau perlu tahu.
"Sehinggakan ada di kalangan rakan-rakan yang melabelkan kami macam pasangan bercinta kerana kami dilihat lebih banyak bercakap di telefon," ujarnya. Menurut Rosmah, beliau dan suami mempunyai persamaan iaitu suka usik mengusik serta bergelak ketawa.
Hakikatnya, jelas Rosmah, hubungan beliau dan suaminya umpama rakan karib Sebagai rakan karib, katanya, beliau selesa untuk berkongsi dan bercerita apa saja kepada suami.
"Benar, kami suka gelak bersama-sama dan bertukar-tukar cerita lucu. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Datuk Seri Najib lucu orangnya," kata Rosmah yang menerima hadiah terakhir daripada suaminya pada ulang tahun kelahirannya 10 Disember tahun lalu.
Menurut Rosmah, Najib juga seorang yang cukup prihatin pada kesihatan diri. Selain melakukan banyak senaman, beliau akan ke gimnasium pada pagi Ahad sekurang-kurangnya 20 minit atau bermain golf. Malah, Najib juga kerap menjalani ujian kesihatan dari semasa ke semasa dan mengambil makanan tambahan.
Cabaran paling besar yang perlu dihadapi oleh Najib ketika ini ialah Malaysia dilihat dalam situasi yang cukup sukar baik dari segi politik mahupun ekonomi.
Namun, sebagai insan yang paling dekat di hati Najib, Rosmah dapat membaca bahasa tubuh suaminya.
"Daripada riak wajahnya, saya percaya Najib sudah benar-benar bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Malah, saya tidak pernah melihat Najib tertekan, sebaliknya beliau seorang yang relaks.
"Beliau tahu apa yang ingin beliau lakukan, tetapi apa rancangan tersebut saya tidak tahu," jelasnya yang akan terus memberi sokongan moral kepada Najib.
Harapan Rosmah: "Saya berharap beliau dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan dedikasi, adil, saksama dan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang."
Anak bagaikan teman rapat
KESIBUKAN Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sudah cukup membayangkan betapa sukarnya pasangan ini ‘mencuri’ waktu untuk bersama anak-anak.
“Datuk Seri sentiasa cuba meluangkan masa untuk bersama saya dan anak-anak. Jika beliau mempunyai waktu terluang dan anak-anak pula pulang bercuti, kami akan bercuti di destinasi terpilih.
“Walaupun tidak lama, misalnya sehari dua sahaja ia sudah memadai,” katanya yang kali terakhir bercuti sekeluarga ke Hong Kong pada Disember lalu.
Menurutnya, setiap pasangan perlu mempunyai sikap toleransi dalam mendidik anak-anak. Sikap inilah yang menjadi tunjang beliau dan suami memandangkan Najib memikul tugas berat menjaga negara.
“Kami bersyukur kerana anak-anak begitu memahami tugas yang dipikul oleh bapa mereka. Sekiranya anak-anak mempunyai masalah, saya lebih senang berbincang dengan mereka,” jelasnya yang bersikap terbuka dan lebih tegas mendidik anak-anak berbanding Najib.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak. Sebagai seorang ibu sudah tentu saya bimbang dengan keselamatan mereka yang tinggal di negara orang.
“Jadi, telefon menjadi medium dalam menghubungkan kami sekeluarga. Saya nak tahu siapa kawan mereka, mana mereka pergi, balik pukul berapa dan sebagainya. Ini semua saya amalkan dari dahulu sehingga sekarang,” ujar Rosmah.
Hubungannya dengan anak- anak umpama teman rapat. Jadi, mereka selesa untuk berbincang apa saja dengannya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm
No comments:
Post a Comment