Friday, April 3, 2009

Gaya kepimpinan Najib

Selama 33 tahun Najib membuktikan kemampuan dan kehebatannya sebagai seorang pemimpin. Hari ini gaya kepimpinannya yang sentiasa prihatin dan dekat dengan rakyat membolehkan Najib mendapat kepercayaan sebagai Perdana Menteri Keenam.





BAPANYA ialah salah seorang pembesar Istana Pahang yang dipanggil Orang Kaya Indera Shahbandar yang juga Perdana Menteri Kedua Malaysia. Ibunya pula ialah anak kepada salah seorang pengasas UMNO, menteri dan kemudian menjadi Speaker Dewan Rakyat pertama negara.

Beliau lahir dalam sebuah keluarga bangsawan yang ternyata bukan calang-calang.

Hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak bergelar Perdana Menteri keenam selepas diangkat sebagai Presiden UMNO pada 26 Mac lalu.

Najib telah lama bergelumang dalam politik sebelum tiba ke kemuncak, dan pengalaman itu mungkin telah memberikan gambaran mengenai gaya kepimpinannya.

Bahkan, meniti karier dengan keyakinan kepada politik mata tangga iaitu tidak bersaing, menjatuh atau bermusuh dengan sesiapa untuk meraih jawatan, serta setia kepada ketua menggambarkan gaya kepimpinan lelaki itu.

Yang pasti, sungguhpun dilahirkan dalam keluarga bangsawan tetapi gaya kepimpinan aristokrat tidak pernah hadir dalam kamus hidup Najib.

Melihat Najib sejak beliau bertatih sehinggalah mencapai jawatan orang No. 1 dalam negara, bekas Setiausaha Politik Allahyarham Tun Razak, Tan Sri Abdullah Ahmad memilih istilah pragmatik untuk menggambarkan gaya kepimpinan Najib.

Najib dilihat sebagai bersifat praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan keputusan yang dibuat tidak menyusahkan organisasi, parti, orang di bawah dan rakyat.


SEJAK tahun 1976, Najib tidak pernah tewas di kawasannya di Pekan, Pahang kerana sikapnya yang sentiasa mengambil berat dan prihatin nasib rakyat jelata.


Bagi Pensyarah Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. A. Nidzammuddin Sulaiman pula, Najib seorang pemimpin yang bertanggungjawab penuh pada 'subjeknya'.

'Subjek' yang dimaksudkan itu ialah jawatan dan kementerian yang bergerak di bawah pimpinan dan naungannya. Umpamanya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kewangan.

"Apabila diberi kedudukan, tumpuan beliau adalah untuk melaksanakan tugas dan kewajipan yang diamanahkan. Beliau juga tidak mudah tenggelam dengan pujian dan sanjungan.

"Beliau juga sentiasa berusaha melakukan perubahan dalam kementerian yang dipertanggungjawabkan dengan mementingkan kebajikan pegawai-pegawai dan kakitangan. Ia menjadi perangsang dan penghargaan kepada orang di bawahnya yang telah bekerja kuat," ujar Nidzammuddin.

Katanya, ada kemungkinan gaya kepimpinan Najib itu disifatkan oleh segelintir orang sebagai patronize. Gaya kepimpinan itu merujuk kepada sikap melindungi orang bawahan dan menjaga kebajikan mereka. Sesetengah pula melihat beliau sebagai dermawan murah hati yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat.

Hakikat bahawa pada kedudukan rasminya dalam kerajaan baik sewaktu menjadi Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Menteri, Najib dikenali sebagai orang yang berprestasi tinggi yang membuat orang kagum dengannya.


NAJIB (tiga dari kiri) dan Rosmah (dua dari kanan) sewaktu melawat Tee Hui Yee, remaja yang menjalani pemindahan jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.


Sewaktu dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, sesetengah pihak melihat Najib hanya mendapat sebuah kementerian yang tidak penting. Namun, Najib mengambil tanggapan itu sebagai cabaran dengan melakukan pelbagai transformasi sehingga kementerian tersebut mula dilihat sangat signifikan.

Begitu juga dengan jawatan sebagai Menteri Pertahanan apabila ada yang menyifatkan Najib hanya akan mendapat tabikan daripada anggota tentera.

Tetapi Najib membuktikan sebaliknya. Beliau mengubah struktur Angkatan Tentera Malaysia selain melengkapkan pasukan itu dengan pelbagai teknologi berkelas dunia. Ekorannya, bukan sedikit yang mula memperkatakan tentang kehebatan Kementerian Pertahanan.


NAJIB tidak pernah canggung untuk bergaul dengan segenap lapisan masyarakat.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin politik yang berjiwa rakyat, mesra dan prihatin.

"Beliau mempunyai kebolehan memahami isu-isu kompleks yang melibatkan rakyat jelata dengan cepat dan pantas. Tidak ketinggalan beliau cepat menghidu isu kompleks yang berlaku dalam parti, kementerian dan negeri-negeri dalam persekutuan.

"Malah beliau sentiasa peka dengan masalah rakyat yang menjadi kemestian setiap pemimpin politik.

"Keprihatinan dan murah hati Najib turut dapat lihat melalui kunjungan kerap beliau ke kawasannya iaitu Pekan, Pahang untuk mendengar dan melihat sendiri perkembangan kawasan di bawah kepimpinannya," kata Mustapa kepada Kosmo!.

Dengan perwatakannya yang lemah lembut, keperibadian yang disenangi, mudah memberikan senyuman dan tidak sombong, ia membuatkan Najib sentiasa menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati rakyat.


GAYA kepimpinan Najib yang setia pada ketua dan menjaga kebajikan orang di bawahnya menjadikan beliau orang pertama di negara ini mengikut jejak bapa sebagai Perdana Menteri Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...