Najib mempunyai ketokohan sebagai pemimpin yang hebat. Gaya percakapannya baik dan pemikirannya pula tajam.
PEPATAH bapa borek, anak rintik mungkin bertepatan dengan kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam.
Namun, untuk menjadi seperti Allahyarham Tun Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan dan tokoh serba boleh, mungkin agak sukar bagi Najib melakukannya. Beliau sendiri pernah mengakui tidak mungkin beliau boleh menjadi seperti bapanya yang disegani segenap lapisan masyarakat.
Dalam kalangan penganalisis dan pemerhati politik, ramai beranggapan Najib mampu membawa angin perubahan dalam UMNO dan pentadbiran negara sekiranya beliau benar-benar berani dan sanggup melakukan tindakan drastik untuk membersihkan imej parti, kerajaan dan persepsi rakyat terhadap kedua-duanya.
Bekas Setiausaha Politik Allahyarham Tun Razak, Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas yang pernah berkhidmat selama 14 tahun dengan Perdana Menteri kedua itu berkata, Najib mempunyai ketokohan sebagai pemimpin yang hebat, berpendidikan tinggi, gaya percakapan yang baik dan pemikirannya tajam.
"Saya mengenali Najib daripada dia masih kecil sehingga meningkat dewasa dan sampai ke tahap ini. Bercakap mengenai anak sulung Tun Razak itu, apa yang boleh saya nyatakan ialah dia seorang anak yang bersopan-santun, lembut, mentaati ibu bapa serta orang yang lebih tua dan sentiasa menjaga percakapannya.
"Ternyata, pengaruh karakter ibunya, Tun Rahah dan bapanya, Tun Razak dibawa bersama dalam perwatakannya. Walaupun ayahnya lebih serius dan pendiam, Najib tidak seperti itu. Dia sebaliknya lebih ceria dan peramah.
"Dalam aspek kepimpinannya, Najib seorang yang pragmatik. Saya percaya apa sahaja perkara yang boleh memberi kesan positif pada UMNO akan dilakukannya.
"Saya harap Najib mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dan radikal seperti mengurangkan rasuah, nepotisme, budaya high maintenance iaitu sikap menunjuk-nunjuk dan boros serta semua persepsi negatif yang dilempar kepada UMNO. Cuma persoalannya, adakah dia mempunyai iltizam untuk melakukan semua perkara tersebut?
"Walau apa pun, saya berdoa dan berharap Najib akan mencontohi kepimpinan bapanya yang amat prihatin kepada bangsa, agama dan tanah air," jelas Abdullah dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di rumahnya di Ampang Hilir baru-baru ini.
Sementara itu, sejarahwan tersohor negara, Profesor Emiratus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut melahirkan pandangannya yang tersendiri terhadap Najib.
"Najib bukan seorang individu yang berfikiran statik, sebaliknya beliau mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi berlainan sekali gus menjadikannya orang paling layak menerajui kepimpinan negara.
"Secara teori, Najib boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi berbeza. Beliau juga merupakan seorang intelektual dan pemimpin yang berpengalaman luas, selain boleh membawa perubahan pada negara. Tetapi dalam perjuangan untuk menuju ke arah itu, banyak cabaran yang perlu dihadapinya."
Kay Kim menambah, secara praktikalnya, apa yang akan terjadi apabila Najib memegang tampuk pemerintahan negara masih tidak dapat dipastikan lagi.
"Lumrah alam, bukan semua orang akan menyokong dan memberi kerjasama kepada beliau. Sudah pasti akan ada cubaan untuk menggagalkan dan mengganggu gugat pemerintahan Najib.
"Justeru, beliau perlu bersedia untuk menangkis semua ranjau yang mendatang," ujar Kay Kim lagi.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_06.htm
No comments:
Post a Comment