Tuesday, April 7, 2009

Ketua penjara Khmer Rouge minta maaf


GUEK EAV membaca kenyataan dalam perbicaraannya di sebuah mahkamah di Phnom Penh, Kemboja semalam.



PHNOM PENH - Bekas ketua penjara rejim Khmer Rouge, Kaing Guek Eav semalam memohon maaf kepada semua mangsa kekejamannya ketika mengurus penjara Tuol Sleng yang menyaksikan lebih dua juta rakyat Kemboja terbunuh, tiga dekad lalu.

Guek Eav yang turut dikenali sebagai Duch memberitahu mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa dia adalah kambing hitam anggota kanan pergerakan pelampau komunis.

Bekas guru berumur 66 tahun itu memberitahu, dia hanya mengikut arahan pegawai atasannya kerana mahu melindungi keluarganya sendiri.

Penjara Tuol Sleng yang turut dikenali sebagai S21 menjadi lokasi lebih 15,000 penduduk Kemboja dibunuh antara tahun 1975 hingga 1979 dalam era komunis.

"Saya bertanggungjawab terhadap semua jenayah di S21 terutama penyeksaan dan pembunuhan. Biarlah saya memohon maaf kepada tahanan yang masih hidup dan keluarga mangsa yang terbunuh," katanya.

Menurut Guek Eav, ketika itu, keluarganya adalah lebih penting berbanding tahanan-tahanan di S21.

Guek Eav berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Dia merupakan seorang daripada lima anggota kanan Khmer Rouge yang ditahan pihak mahkamah.

Antara penderaan yang dibuat di S21 ialah kuku kaki dan tangan tahanan dicabut dan renjatan elektrik terhadap bahagian sulit tahanan, kata pendakwa raya bersama antarabangsa, Robert Petit. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...