Tuesday, April 7, 2009

Pasport, MyKad palsu RM200


Pasangan suami isteri rakyat asing yang ditahan 
kerana kegiatan membuat 
dokumen palsu.



Inilah pelbagai dokumen termasuk pasport palsu yang dirampas di sebuah apartmen di Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR - Satu pasport dan MyKad masing-masing boleh dibeli pada harga serendah RM200.

Itulah harga yang ditawarkan oleh pasangan suami isteri rakyat asing yang menjalankan kegiatan memalsukan pelbagai dokumen termasuk pasport dan MyKad di sebuah apartmen di Bukit Jalil di sini.

Kegiatan yang didakwa bermula sejak dua tahun lalu itu terbongkar selepas pihak imigresen yang melakukan intipan sejak sebulan lalu menyerbu tiga unit apartmen itu serentak pada pukul 11 pagi semalam.

Dalam serbuan tersebut, imigresen menahan pasangan suami isteri iaitu lelaki Bangladesh dan wanita Indonesia yang masing-masing berusia 39 dan 24 tahun.

Dua daripada rumah yang diserbu itu dijadikan pejabat yang digunakan oleh pasangan itu untuk menyimpan dan memproses pelbagai dokumen palsu.

Jurucakap imigresen berkata, ketika soal siasat suspek lelaki itu mendakwa dia dan pasangannya telah menjalankan kegiatan tersebut sejak dua tahun lalu.

Bersama-sama suspek itu, imigresen telah merampas ratusan buku pasport pelbagai negara, MyKad palsu serta kertas yang mempunyai kepala surat Jabatan Imigresen.

Turut dirampas ialah cop Jabatan Imigresen, komputer, mesin pencetak dan mesin memproses MyKad.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...