LONDON - Persidangan Kumpulan 20 (G20) dicemari protes berdarah oleh sejumlah penunjuk perasaan yang memakai topeng hitam bertempur dengan anggota-anggota polis di Bank of England di London semalam.
Kumpulan itu bertindak ganas setelah khabar angin tersebar bahawa pihak polis mahu mengepung penunjuk perasaan sekali gus menyebabkan lebih ramai yang hadir.
Anggota-anggota polis diserang dan satu cawangan Royal Bank of Scotland (RBS) menjadi sasaran ketika sekumpulan pemabuk membuat kacau di Square Mile.
Sejumlah kecil penunjuk perasaan kebanyakannya memakai kain melilit kepala memecah masuk selepas tingkap kaca cawangan bank itu pecah.
Satu mesin pencetak dan beberapa barang lagi dicampak keluar dari tingkap ketika kumpulan itu menggeledah pejabat bank itu.
Kebanyakan penunjuk perasaan itu terdiri daripada kumpulan yang membantah krisis kewangan dan mengetengahkan isu pemanasan global.
Seramai dua penunjuk perasaan memanjat arca Wellington yang terletak bertentangan dengan pintu masuk Bank of England.
Sebanyak 11 penunjuk perasaan ditangkap polis. Beberapa topi keselamatan polis turut dirampas penunjuk perasaan sebelum ia dilambung ke udara.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menafikan terdapatnya perselisihan di kalangan negara-negara kuasa ekonomi dunia.
"Saya mengetahui bahawa anggota-anggota G20 meneruskan cara masing-masing," katanya.
Kawalan keselamatan turut ditingkatkan berikutan ketibaan Obama kelmarin dengan 3,000 kamera keselamatan tertutup (CCTV) ditempatkan di London.
Obama yang tampil pada acara rasmi antarabangsa pertama berhadapan tekanan untuk menunjukkan AS boleh membawa dunia keluar daripada kemelut ekonomi. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment