Tuesday, April 7, 2009

Korea Utara cetus kemarahan antarabangsa


SEORANG anggota tentera Korea Selatan menonton siaran televisyen mengenai pelancaran roket Korea Utara di Seoul semalam.


TOKYO - Korea Utara melancarkan roket jarak jauh melintasi Jepun semalam sekali gus membangkitkan kemarahan antarabangsa dan mencetuskan sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Jepun berkata, ia berhenti mengawasi roket dipercayai peluru berpandu Taepondong-2 itu selepas melepasi jarak 2,100 kilometer ke timur Tokyo.

Ujian peluru berpandu jarak jauh berkeupayaan nuklear pertama Korea Utara yang mampu mengenai sasaran hingga ke Alaska di Amerika Syarikat (AS) pada Julai 2006 gagal selepas roket tersebut berkecai 40 saat selepas ia dilancarkan.

Mengulas perkembangan tersebut, Presiden AS, Barack Obama berkata, Korea Utara jelas melanggar resolusi PBB supaya negara itu membatalkan semua program peluru berpandu balistiknya.

"Dengan provokasi ini, Korea Utara melanggar obligasi antarabangsanya, menolak gesaan supaya bertolak ansur dan menjadikan negara itu semakin dipinggir komuniti antarabangsa," kata Obama ketika dalam rangka lawatan ke Eropah.

Sehubungan itu, katanya, dengan nada tegas, pengunaan paksaan ke atas Korea Utara perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama White House memberitahu, AS masih komited terhadap rundingan enam pihak bagi memastikan Korea Utara bebas daripada senjata nuklear.

Sementara itu, Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar semalam selepas menerima permintaan duta Jepun supaya PBB mengutuk keras tindakan Pyonyang.

Bagaimanapun, tindakan lebih keras seperti sekatan tidak dapat dilaksanakan kerana dua sekutu Korea Utara, China dan Rusia awal-awal lagi menyatakan mereka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan langkah tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0406&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...