Bagi komuniti kulit hitam, Winnie membuka memori tentang kesengsaraannya dipisahkan dengan suami selepas Nelson Mandela dipenjara selama 27 tahun. Kini dia kembali ke pentas politik Afrika Selatan.
Sama ada dia disukai atau dibenci, Winnie Madikizela-Mandela kini kembali. Bekas isteri ikon antiaparteid Afrika Selatan, Nelson Mandela ini dengan mudah ditunjukkan jalan pulang ke kerusi Parlimen dan dijangka memenangi jawatan Kabinet.
Ini berikutan keputusan mahkamah yang mengetepikan rayuan parti pembangkang agar dia tidak diberi kelayakan bertanding.
Nama Winnie berada di tangga kelima dalam senarai calon Parlimen Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), mendahului ramai menteri lain. Pilihan raya akan dilangsungkan pada 22 April ini.
Mahkamah telah menolak usaha yang menghalang Winnie kembali ke gelanggang politik. Semuanya berpunca daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada tahun 2004 atas tuduhan penipuan. Dalam hukuman itu, Winnie tidak diberikan pilihan membayar denda.
Mengikut perlembagaan negara itu, seseorang tidak dibenarkan menyertai Parlimen jika masih dalam tempoh hukuman penjara melebihi 12 bulan tanpa pilihan denda sehinggalah hukuman itu selesai dijalani.
Hukuman ke atas Winnie, walau bagaimanapun, telah dipendekkan ke tiga setengah tahun, setelah ditangguhkan selama lima tahun. Pihak mahkamah memberitahu, kelonggaran syarat itu antara lain disebabkan oleh Winnie yang tidak dikurung dalam penjara walau sehari pun.
ANC membuat pengumuman bahawa pencalonan Winnie adalah berdasarkan pengalaman dan kredibiliti untuk berkhidmat kepada negara. Pujian itu bagaikan semangat buat Winnie yang sebelum ini ditekan pemerintahan Presiden Mbeki.
Dari tahun 1960-an hingga 1980-an, Winnie sudah merasai kemasyhuran dan glamor. Tinggi dan cantik, dia diangkat sebagai simbol perjuangan antiaparteid.
Namun begitu, dia mula-mula berhadapan dengan masalah selepas menyokong usul hukuman bunuh necklacing terhadap pembelot negara pada penghujung tahun 1980-an. Hukuman yang dikecam secara rasmi oleh ANC itu melibatkan jerutan getah di leher pesalah yang kemudiannya dibakar.
Selepas kelahiran demokrasi pada tahun 1994, reputasi baik Winnie makin tercalar. Dia didakwa secara berasingan dalam kes penipuan dan penculikan.
Semua itu berkait pula dengan pertuduhan menyebabkan kecederaan dan pembunuhan Stompie Seipei Moeketsi yang turut menjerat penglibatan pengawal peribadinya.
Atas semua pertuduhan itu, dia telah dipecat oleh Mandela daripada jawatannya sebagai Timbalan Menteri. Ia disusuli dengan siri tuduhan curang oleh Mandela ketika perbicaraan di mahkamah.
Winnie akhirnya meletakkan jawatan dari Parlimen pada tahun 2003 setelah senario politik negara itu diwarnai muka-muka politik yang baru dan elit.
Kemunculan semula Winnie kali ini dikatakan menyerupai kisah pemimpin parti ANC, Jacob Zuma. Zuma diingati sebagai tokoh kesayangan media yang bersusah-payah untuk kembali ke pentas politik selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2005 atas dakwaan rasuah.
Dia juga berjaya melepasi dakwaan merogol dan tangkas menyingkirkan Mbeki untuk menjadi Presiden ANC pada tahun 2007. Zuma sekarang disebut-sebut untuk menjadi presiden baru negara itu.
"Ramai menyangka Winnie sudah tiada. Sekali lagi mereka memandang rendah kuasa dan pengaruhnya," kata pengulas politik, Allister Sparks.
Bagi komuniti kulit hitam, Winnie membuka memori tentang kesengsaraan yang dialaminya kerana dipisahkan dengan suami apabila Mandela ditahan dan dipenjara selama 27 tahun. Winnie juga menjalani hukuman pengurungan berasingan dan seterusnya hidup seumpama orang buangan selama lapan tahun.
Sementara itu, Mandela yang dikasihi ramai terus menjuarai hati rakyat tanpa diiringi bayang bekas isterinya itu. Dia, bagaimanapun, masih sukar melenyapkan pedih hatinya apabila mendedahkan bahawa Winnie tidak langsung menemaninya dalam bilik tidur selepas pembebasan mereka pada tahun 1990.
"Saya ialah lelaki paling sepi sepanjang masih bersamanya. Jika seluruh semesta memujuk saya agar kembali kepadanya, saya tidak akan menurut," kata Mandela di mahkamah perceraian di Johannesburg.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment