Friday, May 22, 2009

104 pelatih PLKN keracunan lepas makan ‘ayam busuk’



PASIR MAS: Hidangan makan malam berlauk ‘ayam busuk’ dipercayai menjadi punca 104 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Cancun Park di sini, mengalami keracunan makanan, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 35 pelatih dihantar ke tiga hospital termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) dan Hospital Pakar Perdana untuk rawatan lanjut.

Kejadian kali ketiga membabitkan kem sama tahun ini menyebabkan seorang pelatih terpaksa ditahan di wad manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku selepas semua pelatih menikmati hidangan nasi goreng berlauk ‘ayam busuk’ yang disediakan kontraktor makanan kem itu untuk sajian makan malam.

Selepas 45 minit menikmati hidangan itu, pelatih mengadu sakit perut kepada jurulatih menyebabkan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pelatih PLKN kem itu, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Malam tadi (kelmarin) berlaku satu lagi satu episod keracunan membabitkan pelatih PLKN. Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian itu berpunca daripada hidangan ayam busuk yang dinikmati bersama nasi goreng,” katanya pada sidang media di Hospital Pasir Mas di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan turut mendapati, pelatih kem sudah tiga kali i keracunan makanan berikutan kegagalan kontraktor menguruskan hidangan dengan baik dan bersih.

Kejadian pertama direkodkan pada 14 April lalu apabila 17 pelatih kem itu keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam diikuti kejadian kedua, pada 12 Mei lalu membabitkan menu sama.

“Keadaan itu menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri terpaksa menyita premis terbabit sebelum kerja penyediaan makanan diserahkan kepada pengusaha luar, namun keadaan tetap sama,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menutup premis makanan itu serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.

“Masalah ini (keracunan) boleh dielak jika pelatih dan jurulatih PLKN mengambil berat mengenai petunjuk keracunan seperti makanan berbau supaya tidak mengalami keracunan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061538/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...