Friday, May 22, 2009

Penyeluk saku keluar duit ATM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir yang menjadi mangsa seluk saku terkejut apabila penjenayah terbabit turut mengeluarkan wang RM5,000 dari akaun bank menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dalam masa kurang 30 minit.

Lebih membingungkan, penjenayah terbabit mampu mengetahui nombor pin rahsia kad ATM miliknya bagi membolehkan wang berkenaan dikeluarkan dengan mudah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa mendakwa dompetnya diseluk ketika dia membeli-belah di sebuah kedai tekstil terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Menurutnya, mangsa yang sebelum itu memasukkan dompetnya dalam bungkusan plastik hanya menyedari kehilangannya selepas melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan.

“Difahamkan dalam dompet mangsa ada kad pengenalan, wang tunai RM160 dan sekeping kad ATM.

“Sejurus menyedari kehilangan kad ATM berkenaan, mangsa yang berasal dari Subang Jaya segera ke bank berhampiran untuk memastikan kad ATM miliknya tidak disalah guna,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sampai ke bank pada jam 2.15 tengah hari terkejut apabila semakan bank mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 di dalam akaunnya sudah dikeluarkan.

“Penjenayah itu mungkin menggunakan peralatan khas untuk peroleh nombor pin rahsia kad ATM saya sebelum mengeluarkan wang.

“Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian gagal mengesan identiti suspek berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di lokasi berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang eksekutif wanita berusia 24 tahun menjadi mangsa ragut ketika berjalan ke keretanya yang diletakkan di Jalan Ceylon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa yang bekerja di sebuah bank dikatakan berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri dari arah belakang oleh motosikal ditunggang seorang lelaki.

Difahamkan, suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh kemudian meragut beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521062136/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...